Rokok putih bernilai RM3.2 juta yang diseludup masuk di Pelabuhan Klang berjaya dilumpuhkan katsma Zin Tengah Selangor 6 Julai 2021. - Gambar kredit JKDM

KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan sindiket penyeludupan rokok putih bernilai RM3.2 juta di Pelabuhan Utaram Pelabuhan Klang menerusi serbuan yang dilakukan kelmarin.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, dalam serbuan itu Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) yang menahan empat buah kontena berukuran 40 kaki setiap kontena menemui rokok putih berjenama U2 yang merupakan dagangan larangan.

“Di dalam kontena itu kami menemui sebanyak 40 juta batang rokok yang melibatkan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM3.2 juta dengan jumlah duti/cukai dianggarkan sebanyak RM25.4 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rokok putih bernilai RM3.2 juta yang diseludup masuk di Pelabuhan Klang berjaya dilumpuhkan katsma Zin Tengah Selangor 6 Julai lalu. -Gambar kredit JKDM

Tambah beliau, sindiket berkenaan mengisytiharkan muatan dalam kontena sebagai telekung dan palet terpakai bagi mengelak dikesan jabatan itu.

Menurut Zazuli, rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Kes sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 kerana kesalahan cuba mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahannya,bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak lebih dari dua puluh 20 kali nilai barang atau RM500,000, atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi kesalahan kedua atau kesalahan seterusnya pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette