Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan perindustrian Bestgrade, Pokok Sena, Kedah yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan selama dua minggu sehingga 23 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil 336 ujian saringan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) di kawasan perindustrian Bestgrade mendapati 148 kes positif Covid-19, malah terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti itu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di kawasan itu bermula 10 Julai sehingga 23 Julai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, PKPD di Politeknik Sultanah Bahiyah Kulim dan beberapa kawasan di Johor dan Sabah ditamatkan berikutan trend penurunan penularan pandemik Covid-19.

“Dalam pada itu kerajaan juga telah menamatkan PKPD di Kampung Muhibbah, Menggatal Kota Kinabalu pada 11.59 malam Jumaat ini (9 Julai) seperti yang dijadualkan pada asalnya.

“Hasil 329 ujian saringan dan 38 daripadanya dilaporkan positif namun trend jangkitan telah menurun sementara kluster terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

“Menyedari hakikat ini, jawatankuasa teknikal PKP atas nasihat KKM telah bersetuju menamatkan PKPD pada tengah malam esok (9 Julai),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di Flat Indah Jaya, Sandakan pada Jumaat ini selepas trend jangkitan kes di kawasan itu menurun, kluster terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

Bagi negeri Johor, PKPD di asrama pekerja warga asing, Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak dan asrama pekerja warga asing serta kawasan kilang Wah Cens Plastic Industries & Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat yang sepatutnya tamat pada 13 dan 16 Julai ini ditamatkan esok

“Ujian saringan terkini di kawasan-kawasan lokaliti dalam daerah Tangkak dan Segamat menunjukkan trend jangkitan telah menurun dan kluster terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette