KUALA LUMPUR – Pemain Kelantan United FC (KUFC), Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi berkata, dia sangat beruntung kerana masih diberi kepercayaan beraksi di posisi penyerang biarpun terpaksa bersaing dengan pemain-pemain import.

Jelas penyerang berusia 27 tahun ini, dia mengakui bukan mudah buat mana-mana pasukan memberikan ruang sebegini kepada penyerang tempatan dan berharap mampu terus memberikan sumbangan kepada Kelantan United dalam pentas Liga Premier pada musim ini.

Dia juga dalam masa sama berpuas hati kerana gandingannya bersama penyerang import, Gassama Alfusainey terus jadi taruhan selepas tiga tahun bersama sejak saingan Liga M3 2019.

“Setakat ini saya sangat bersyukur kerana diberi kepercayaan jurulatuh kerana selepas tiga tahun di sini, saya mendapat banyak minit permainan dan diturunkan dalam hampir semua perlawanan.

“Perkara ini secara tidak langsung mungkin ada kaitan dengan prestasi selama ini kerana saya telah bekerja keras cuba mendapatkan tempat memandangkan bermain di Liga Premier, saya sedar kena usaha lebih lagi memandangkan ada empat pemain import dalam pasukan.

“Tak sangka saya masih terus diberi peluang bermain sebagai penyerang, terima kasih kepada jurulatih yang percaya terhadap kemampuan diri ini, saya harap untuk baki perlawanan yang ada ini, saya mampu menjaringkan dalam lima ke enam gol lagi.

“Selain itu faktor keserasian saya bersama Gas sama juga ada mainkan peranan kerana kami mempunyai gaya permainan yang sama dan jurulatih mungkin nampak benda itu yang boleh digunakan bagi membantu pasukan, ” katanya.

Fakhrul pada musim 2019 banyak mencuri perhatian apabila dinobatkan selaku penjaring terbanyak Liga M3 apabila melakukan 28 gol dalam 26 perlawanan.

Dia terus berperanan sebagai peledak utama Kelantan United musim lalu apabila diturunkan dalam semua perlawanan serta menjaringkan 3 gol manakala bagi musim ini, dia yang mendapat kecederaan pada awal saingan Liga Premier telah beraksi selama 7 perlawanan dengan 1 gol.

Bekas penyerang Kelantan ini dalam masa yang sama mengakui kehadiran pemain import berpengalaman Jepun seperti Masashi Motoyama banyak membantu Kelantan United.

Malah dalam masa sama, dia mengharapkan majoriti pemain muda dapat mengikut sikap yang dipamerkan Motoyama walaupun umur sudah menjangkau 42 tahun kerana sentiasa memberikan yang terbaik bersama pasukan.

“Pemain macam Masashi ini walaupun umurnya agak tua namun daripada segi teknik, dia sangat baik terutama semasa melakukan hantaran, kawalan malah tidak pernah nampak dia malas atas padang, saya kagum dengan dia.

“Biarpun umurnya mungkin ada membataskan pergerakan di padang, namun komitmen dia antara yang terbaik pernah saya saksikan, pemain-pemain muda kena contohi serta cuba iktu cara dia,

Memungut 16 mata, Kelantan United buat masa ini menduduki tangga kelima Liga Premier selepas 11 perlawanan 6 mata ketinggalan di belakang pasukan tangga kedua, Negeri Sembilan FC bagi pemburuan slot ke Liga Super 2022. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast