Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 07 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu menunjukkan beliau masih memperoleh kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen sehingga dibuktikan sebaliknya.

Oleh itu UMNO yang mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin awal pagi ini dan mendesak beliau berundur, perlu mendapatkan akuan bersumpah dari setiap ahli Parlimen bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap perdana menteri.

Akuan bersumpah tersebut, menurut Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, perlu sampai kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum baginda boleh menitahkan Perdana Menteri menghadap berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz Malay Peninsular Malays Indians Orang Asli Chinese MRL Malay Reserve Land
Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz

Beliau yang merupakan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, sekiranya Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti maka beliau mempunyai dua pilihan sama ada meletakkan jawatan atau meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Artikel berkaitan: 

“Tidak semestinya Perdana Menteri menunjukkan dia mempunyai kepercayaan majoriti, pihak lain juga boleh menunjukkan mereka telah hilang kepercayaan terhadap perdana menteri atau mereka telah mempunyai kepercayaan terhadap orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Shamrahayu, mungkin Perdana Menteri perlu mengambil perhatian sekiranya terdapat menteri atau Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan penting yang mereka sandang, seperti jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Dr Shamrahayu ditanya mengenai  keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO awal pagi ini untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin atas alasan gagal memenuhi segala garis panduan yang dikemukakan MKT pada 11 Mac 2020.

Bagaimanapun kenyataan lima muka surat yang dibaca oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menyatakan sama ada ahli-ahli Parlimen parti itu yang mempunyai jawatan dalam Kabinet Muhyiddin akan meletakkan jawatan atau sebaliknya.

Tidak dinyatakan juga sama ada pengerusi-pengerusi GLC yang terdiri daripada wakil rakyat UMNO perlu menarik diri daripada jawatan tersebut.

Kenyataan itu juga tidak memperincikan sama ada akan ada usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Muhyiddin dan apa tindakan terhadap ahli-ahli Parlimen yang enggan menarik sokongan terhadap perdana menteri.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Haaa..ni Prof apa ni…sejak bila plak pilih PM guna SD? Kalau mcm tu tutup laaa parlimen..buang duit rakyat jaaa buat bangunan parlimen cantik2…biol betul

Comments are closed.