Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Sidang mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini memutuskan untuk menarik balik sokongannya serta merta terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sokongan sejak Mac tahun lalu itu ditarik balik selepas mendapat undian dua pertiga ahli MT.

“Maka tempoh memberikan sokongan kepada Yang Amat Berhomat Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta merta,” katanya dalam sidang media malam ini.

Menurut Ahmad Zahid, selain kegagalan kerajaan menangani masalah Covid-19, ekonomi dan bebanan rakyat, UMNO juga tidak boleh berkompromi dengan melihat kerajaan memperkotak-katikkan institusi beraja bagi membuat sidang Parlimen.

Menurutnya, berpandukan tujuh ketetapan MT UMNO semasa menyokong Muhyiddin pada tahun lepas, kerajaan PN didakwanya gagal memenuhi segala garis panduan yang telah dikemukakan MT pada 11 Mac 2020.

Ahmad Zahid berkata penarikan itu adalah berdasarkan kepada tujuh perkara yang telah diputuskan oleh MT hari ini.

Ia adalah kegagalan kerajaan pimpinan Muhyiddin untuk menangani Covid-19, menyalahgunakan proklamasi darurat yang hanya untuk muslihat politik, kegagalan mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen hingga ‘memandulkan’ segala amalan demokrasi semak dan imbang, menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat.

Ahmad Zahid juga berkata, PN juga gagal memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan rakyat, gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi dan juga memperkotak-katikkan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette