KUALA LUMPUR – Dagangan di Bursa Malaysia ditutup tinggi petang ini, sekali gus menamatkan kerugian yang dicatatkan dalam tempoh lima sesi berturut-turut sebelum ini.
Prestasi memberangsangkan ini didorong oleh kegiatan membeli oleh para pelabur ketika saham berharga murah.
Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 11.87 mata atau 0.79 peratus kepada 1,520.58 daripada 1,508.71 pada penutupan urus niaga petang Khamis.
Indeks utama dibuka 0.35 mata lebih rendah pada 1,508.36 — paras terendah hari ini – dan mencecah paras tertinggi seharian pada 1,522.8.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 658 berbalas 326 manakala 444 kaunter tidak berubah, 775 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.98 bilion unit bernilai RM2.86 bilion daripada 5.35 bilion unit bernilai RM3.54 bilion pada Khamis.
Saham berwajaran tinggi, Maybank melonjak 10 sen kepada RM8.13, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing menambah satu sen kepada RM4.06 dan RM5.61, sementara Petronas Chemicals dan TNB masing-masing naik tujuh sen kepada RM8.06 dan RM9.69.
Sementara itu, Hong Leong Bank tidak berubah pada RM18.66, Press Metal turun tiga sen kepada RM4.90, dan Axiata susut dua sen kepada RM3.78.
Bagi saham aktif, Serba Dinamik naik 1.5 sen kepada 45.5 sen, Kanger International dan AT Systematization masing-masing menambah setengah sen kepada enam sen dan tujuh sen, Hong Seng Consolidated melonjak 17 sen kepada RM1.07, Careplus naik 10 sen kepada RM1.75, Pegasus tidak berubah pada dua sen, sementara Asdion turun 30 sen kepada 41.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 81.36 mata kepada 11,070.11, Indeks FBMT 100 mengukuh 77.61 mata kepada 10,781.92, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 97.29 mata kepada 12,110.78.
FBM ACE pula melonjak 111.52 mata kepada 7,175.04 manakala FBM 70 menokok 77.53 mata kepada 14,324.93.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 78.77 mata kepada 14,955.63, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.26 mata kepada 187.52, dan Indeks Perladangan 13.59 mata lebih tinggi pada 6,290.43.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 2.58 bilion saham bernilai RM2.28 bilion daripada 3.69 bilion saham bernilai RM3.03 bilion pada hari Khamis.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 215.29 juta unit bernilai RM27.21 juta daripada 318.97 juta unit bernilai RM39.22 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE menguncup kepada 1.19 bilion saham bernilai RM557.32 bilion berbanding 1.34 bilion saham bernilai RM474.77 juta pada Khamis.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 357.99 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (673.99 juta), pembinaan (76.70 juta), teknologi (339.65 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (64.90 juta), hartanah ( 300.67 juta), perladangan (22.53 juta), REIT (2.93 juta), dana tertutup (3,000), tenaga (491.33 juta), penjagaan kesihatan (139.59 juta), telekomunikasi dan media (53.17 juta), pengangkutan dan logistik (40.89 juta) dan utiliti (12.56 juta). – MalaysiaGazette