Kepala pemotong mesin pengorek dengan diameter 8.98 meter diuji di Kilang Tianha di Shanghai.

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) meraikan satu lagi pencapaian penting dengan ketibaan mesin pengorek terowong (TBM) pertama seperti yang dijadualkan selepas menjalani ujian kilang yang menyeluruh di China.

Mesin-mesin tersebut direka khas untuk kegunaan dalam keadaan batuan keras serta dilengkapi dengan 4 silinder tork.

Setiap kepala TBM seberat 900 tan dengan panjang 25 meter dan diameter 8.98meter.

Dengan gantri sokongan yang menempatkan bilik kawalan dan pencawang, mempunyai berat 1,600 tan dan berukuran 266meter panjang, menjadikannya antara TBM yang terbesar untuk kerja mengorek terowong laluan rel di Malaysia.

Dihasilkan oleh CCCC Tianhe Machinery and Equipment Manufacturing Co Ltd dari Shanghai, China, TBM telah melalui ujian audit kilang yang ekstensif, sebelum diceraikan kepada 286 pakej dan memulakan penghantaran dengan kapal pada 25 Jun 2021 dari Pelabuhan Shanghai dan tiba di Pelabuhan Klang pada 4 Julai 2021.

Pakej yang terbesar adalah rasuk utama bahagian hadapan yang ukuran pengangkutannya seberat 135 tan, 9.3 meter panjang, 3.7 meter lebar dan 4.6 meter tinggi.

Dalam tempoh 4 hari dari sekarang, satu konvoi trak dan pemuat rendah akan mengangkut TBM dari Northport ke Bentong, Pahang, melalui Lebuhraya Karak atau laluan alternatif melalui Tampin di Negeri Sembilan dan Muadzam Shah di Pahang bagi muatan yang besar.

TBM akan dipasang semula dalam kawasan kerja kontraktor Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), dan menjalani ujian lanjut sebelum memulakan pengorekan Terowong Genting pada suku keempat tahun ini.

Mesin pengorek dibawa keluar dari Northport.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, projek ECRL telah memasuki fasa baharu dengan penghantaran TBM bagi memulakan kerja-kerja pengorekan terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer antara Bentong dan Gombak.

Ia selari dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 2 September 2020 yang bersetuju meluluskan jajaran Seksyen C kembali ke jajaran asal iaitu Temerloh-Gombak-Serendah- Pelabuhan Klang.

Menurut beliau, adalah amat penting untuk memulakan kerja-kerja pengorekan bagi Terowong Genting secepat mungkin memandangkan ia merupakan komponen utama bagi projek ECRL yang akan melengkapkan jambatan darat bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang serta dapat terus menghubungkan para penumpang dari negeri-negeri Pantai Timur ke Gombak yang merupakan pintu masuk utama ke ibu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, penghantaran TBM merupakan peristiwa penting bagi ECRL Seksyen C (Temerloh – Gombak – Serendah – Pelabuhan Klang) kerana mesin tersebut akan digunakan untuk mengorek tanah yang berbukit di sepanjang kawasan Bukit Tinggi bagi pembinaan terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer.

MRL amat berpuas hati terhadap TBM yang telah diuji dengan terperinci daripada segi teknologi dan lulus Ujian Penerimaan Kilang (FAT) sebelum dibawa dari negara China.

”Terowong Genting merupakan terowong ECRL yang pertama dikorek menggunakan kaedah TBM berbanding kaedah gerudi dan letup yang telah digunakan untuk terowong-terowong sedia ada bagi projek ECRL.

Dengan kapasiti penggalian maksimum 700 meter sebulan, TBM akan menjalankan tiga tugas utama bawah tanah; menggali terowong, mengangkut sisa galian ke permukaan dan memasang panel konkrit sebagai dinding terowong.

TBM dijangka memakan masa selama tiga tahun untuk melengkapkan penembusan Terowong Genting. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast