Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

BANDAR BARU BANGI – Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak kemungkinan kes positif Covid-19 harian di negeri itu yang mencecah 4,400 semalam akan berlanjutan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana pelaksanaan PKPD di beberapa mukim di Selangor memerlukan tempoh tertentu bagi memperlihatkan keberkesanannya.

“Semalam ada lebih 4,000 kes dan saya jangkakan trend ini tidak akan berubah dalam tempoh terdekat kerana PKPD yang dilaksanakan sekarang ini memerlukan masa.

“Ia tidak boleh menampakkan kesan dalam tempoh lima ke tujuh hari.

“Kesannya hanya dilihat pada minggu kedua dan mungkin minggu ketiga,” katanya pada sidang media di pekarangan Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes baharu Covid-19 paling tinggi dalam sejarah dengan 9,180 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya semalam berkata, Selangor masih merupakan negeri yang tertinggi kes Covid-19 dengan 4,400 kes baharu.

Dalam pada itu, Amirudin optimis Selangor dijangka beralih dan seterusnya memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) selewat-lewatnya September tahun ini.

“Kalau ikut ukuran hanya kepada vaksinasi kita boleh memasuki fasa kedua PPN.

“Ukuran untuk masuk ke Fasa Kedua ialah tentang kemampuan dan keupayaan sistem kesihatan kita.

“Saya percaya sekarang ini sangat terhad disebabkan pertumbuhan kes yang sangat tinggi, malah ia diukur daripada R Naught serta kadar perebakan kes-kes baharu yang ada di Selangor,” jelasnya.

Amirudin turut menjangkakan kes baharu Covid-19 yang mencecah lebih 4,000 kes sejak semalam akan berpanjang sehingga Ogos ini.

“Secara analisa yang diberikan oleh Dr Sha’ari sebelum ini, di antara empat hingga enam minggu sebenarnya baru kita akan dapat kesan.

“Hasil daripada PKPD atau PKPP mahupun PKPB yang dilaksanakan, semuanya itu selepas dua minggu ke atas.

“Baru kita akan dapat lihat kesannya sama ada beri kesan baik dari segi kes dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette