JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mempamerkan gelaran “Darjah Seri Paduka Mahkota Perak” tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Jun lalu.
Tertuduh, Mohamad Halmi Waramejini, 55, yang juga seorang ativis sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Johor bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.
Mengikut pertuduhan, suspek didakwa tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Perak telah mempamerkan bahan yang mengandungi gelaran “Darjah Seri Paduka Mahkota Perak-Dato Seri (S.P.M.P.)” pada kenderaan jenis Proton X70 bernombor pendaftaran ALR5717.
Tertuduh dikatakan melakukan perbuatan tersebut pada 4 Jun lalu kira-kira pukul 4 petang di Jalan Caranday Park Setia Tropika di sini.
Mohamad Halmi didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dibaca bersama Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran Dan Augerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 (Enakmen 12) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) Enakmen yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun Mohamad Halmi merayu agar jaminan dikurangkan terhadapnya dengan alasan mempunyai tanggungan dua orang anak yang masih bersekolah selain pendapatan terjejas akibat pandemik Covid-19.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000, selain menetapkan 14 September depan untuk sebutan semula kes.-MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast