Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Mohd Famey Yusoff.

JOHOR BAHRU – Tiada kesan pencemaran berlaku di perairan Muar ekoran insiden perlanggaran sebuah kapal tangki dan kapal kargo di perairan itu tengah malam semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Mohd Famey Yusoff ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, pihaknya bersama Jabatan Laut, Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah membuat pantauan pada petang semalam selain mendapati hasil tumpahan minyak itu berpunca daripada sistem minyak hidraulik.

“Kami dapati serakan minyak itu berlaku hanya 100 meter daripada lokasi kejadian. Disebabkan itu, pencemaran yang akan berlaku mungkin berada pada tahap yang rendah kerana minyak itu terlalu nipis dan sampel pada ketika itu kami tidak dapat lakukan kerana keadaan tidak mengizinkan disebabkan keadaan ribut.

“Minyak ini dia kita boleh ibaratkan sama seperti minyak kereta ianya agak mudah larut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun jelas Famey, JAS bersama Jabatan Laut dan Polis Marin akan ke lokasi terlibat petang ini untuk melakukan pantauan berterusan bagi mengelakkan pencemaran  berlaku di kawasan lain.

“Sekali lagi kami akan ke lokasi untuk meninjau dan adakan pantauan susulan di samping itu JAS akan membuat pantauan di persisiran pantau Muar dengan bantuan Pesatuan Nelayan  dan penduduk kampung.

“Sekiranya kita dapati berlaku pencemaran di kawasan sekitar tindakan pembersihan dengan segara akan dapat dilakukan,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan kegagalan kemudi disyaki menjadi punca pelanggaran dua buah kapal di Perairan Muar,tengah malam semalam.

Kapal MV Galapagos yang dipercayai mengalami kegagalan sistem kemudi telah been getak ke kanan telah menghalang laluan Kapal MV Zephyr Lumos yang sedang memoyong MV Galapagos.

Pengarah MARITIM Negeri, Laksamana Pertama MARITIM Nurul Hizam Zakaria menerusi kenyataan memaklumkan, Kapal MV Zephyr Lumos gagal mengelak himpitan MV Galapagos, lalu berlaku perlanggaran di sisi kanan kapal.

“Ketika kejadian, Kapal MV Zephyr Lumos sedang membawa muatan kargo ke Terusan Suez, manakala Kapal MV Galapagos dalam pelayaran ke India.

“Siasatan awal keatas kerosakan badan MV Galapagos mendapati terdapat tompokan tumpahan minyak di lokasi kejadian,” katanya.

Kedua-dua kapal ditahan oleh Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar Malaysia bagi membantu siasatan.

MV Zephyr Lumos berdaftar di United Kingdom, membawa 26 kru, manakala MV Galapagos berdaftar di Malta, membawa 23 kru.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua kapal berlanggar di perairan Muar