BUTTERWORTH – Seorang lelaki Bangladesh dihukum penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan rasuah RM249 kepada anggota polis pada Januari lalu.
Tertuduh, Md Sabber Rahman, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, operator kilang itu didakwa menawarkan suapan wang tunai RM249 kepada seorang anggota polis berpangkat lans koperal sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan undang-undang ke atasnya susulan tidak memiliki lesen memandu selain pasport sudah tamat tempoh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Machang Bubok, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 7.20 malam pada 9 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda selain wang rasuah RM249 dilucut hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 40(1)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette