Rodrigo de Paul.

MADRID – Juara La Liga, Atletico Madrid pantas menyambar pemain tengah Argentina, Rodrigo de Paul yang membantu negaranya memenangi Copa America di Brazil hujung minggu lalu menerusi kontrak perjanjian selama lima tahun.

Atletico dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mencapai persetujuan dengan Udinese untuk perpindahan Rodrigo de Paul sehingga Jun 2026.

Kelab itu tidak menyatakan jumlah yuran perpindahan itu, namun mengikut laporan media Sepanyol ia sekitar 35 juta euro (RM174 juta)

Ia adalah musim kedua buat pemain tengah berusia 27 tahun itu dalam kancah bola sepak Sepanyol selepas bersama Valencia antara 2014 hingga 2016 selepas berpindah daripada kelab Racing di Argentina.

Valencia bakal turut menerima faedah daripada perpindahan seperti dinyatakan dalam klausa ketika penjualan De Paul ke Udinese sebelum ini.

Sebelum ini, pemain sayap Brazil-Portugal, Marcos Paulo menyertai Atletico manakala pengendali pasukan, Diego Simeone menyambung kontraknya sehingga 2024. – MalaysiaGazette