Pengasas Kopi Dua Darjat, Syed Abdul Hadi Syed Hamzah (kiri) dan Azzad Azmy bergambar bersama trak yang digunakan untuk penjualan Kopi Dua Darjat di Lakefiled, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Berdepan masalah kewangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu, dua sahabat ini mencari idea untuk mengusahakan bisnes bagi menambah pendapatan mereka.

Mengambil langkah berani, Syed Abdul Hadi Syed Hamzah, 36, dan Azad Azmy, 37, sanggup berdepan risiko untuk membuka gerai minuman kopi di bawah pokok di Lakefield, Sungai Besi pada November lalu.

Menggunakan jenama Kopi Dua Darjat, siapa sangka hari ini, mereka telah memiliki 19 cawangan di sekitar ibu kota tidak sampai lapan bulan beroperasi.

Bagi Syed Abdul Hadi berkata, mereka langsung tidak menduga dengan sambutan luar biasa yang diterima ke atas jenama kopi hingga mampu mencatat jualan kasar lebih lima angka sebulan.

Menu minuman kopi yang terdapat di Kopi Dua Darjat Lakefiled, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2021.

Namun beliau percaya kekuatan nama Kopi Dua Darjat itu kerana ia memiliki keunikan tersendiri yang menggunakan kopi kampung seratus peratus.

“Kami tidak sangka Kopi Dua Darjat mendapat sambutan menggalakan dan menerima komen positif di kalangan pelanggan hingga cawangannya dibuka dengan begitu pantas.

“Keistimewaan Kopi Dua Darjat kerana kami menggunakan kopi kampung yang diperbuat di dalam negara namun diolah dengan cara moden dengan purata harga dijual antara RM3 hingga RM6 sahaja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pekerja Kopi Dua Darjat sibuk menyiapkan kopi yang dipesan pelanggan di Lakefiled, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2021.

Syed Abdul Hadi memberitahu, mereka memilih bisnes kopi kerana berpendapat tidak ramai masyarakat yang berminat membeli air kopi di tepi jalan sebaliknya memiliki cafe yang selesa.

Jelas beliau, dia dan Azzad mencari kelainan untuk menjual pada harga murah dan diolah secara moden dengan menambah perisa dalam menu seperti sirap, karamel, susu dan vanila

“Kami memilih tema Antara Warisan dan Artisan kerana menjadi pengasas pertama yang membuka gerai kopi di tepi jalan.

“Namun kami kini memberi kebebasan kepada rakan kongsi untuk menjual menu lain seperti kuih di cawangan-cawangan,” katanya yang menubuhkan Darjat Ventures bersama Azzad.

Orang ramai beratur bagi mendapatkan antara menu yang dijual di Kopi Dua Darjat Lakefiled, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2021.

Mengulas perancangan masa depan, Syed Abdul Hadi menyasarkan Darjat Ventures dapat membuka sebanyak 50 cawangan Kopi Dua Darjat pada akhir tahun ini.

Kata beliau, pihaknya mengalu-alukan mana-mana individiu untuk menjadi rakan kongsi dengan memilih lokasi bersesuaian dan hanya bermodalkan serendah RM3,500.

“Niat kami hanya ingin membantu individu lain untuk mencari atau menambah pendapatan kerana itu modal yang dikenakan amat berpatutan.

“Mereka boleh terus meniaga dan akan menerima stok bahan selama seminggu untuk dijual di mana pulangan pelaburan boleh diperolehi dalam masa dua minggu,” katanya.

Bagi peminat kopi, mereka yang ingin mencuba Kopi Dua Darjat boleh melayari Facebook: kopiduadarjat dan Instagram: kopiduadarhat bagi mencari lokasi cawangan yang berdekatan masing-masing. – MalaysiaGazette

Pekerja Kopi Dua Darjat sibuk menyiapkan kopi yang dipesan pelanggan di Lakefiled, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2021.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast