Hotel Seri Malaysia di Kuantan ditransformasi sebagai PKRC Azzahra, Pusat Kurantin dan Rawatan Covid-19 swasta pertama di Pahang.

KUANTAN – Berbekalkan semangat dan sokongan suami, seorang pegawai perubatan wanita membangunkan sebuah Pusat Rawatan dan Kurantin Covid-19 (PKRC) Azzahra, PKRC  swasta yang pertama di Pahang.

Pengarah dan Penyelaras PKRC Azzahra, Dr. Farah Izyan Mohd Hanafiah berkata, operasi PKRC di Hotel Sri Malaysia bermula 3 Julai lalu mampu menempatkan sehingga 150 orang pesakit Covid-19 pada satu-satu masa.

Farah berkata, perjuangan suaminya sebagai petugas barisan hadapan yang bertugas di PKRC kerajaan mendorongnya membuka pusat kuarantin tersebut.

“Namun idea membuka PKRC swasta ini bertujuan meringankan beban kerajaan dan memberi peluang kepada pesakit yang mampu memilih ruang lebih selesa untuk dikurantin dan dirawat selama 14 hari,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Seorang petugas sedang mengemas katil di bilik Hotel Seri Malaysia Kuantan yang dijadikan PKRC swasta untuk pesakit Covid-19.

Pada masa sama, menurut beliau. pembukaan PKRC swasta ini memberi peluang kepada sektor perhotelan dan individu lain yang memerlukan pekerjaan terutamanya pada waktu kritikal ini.

Farah menambah, cadangan penubuhan PKRC ini telah dibentangkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JPNP), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Selain itu, Farah turut berbincang usahasama dengan Hotel Seri Malaysia.

Pemilik Klinik Azzahra yang merupakan bekas penjawat awam berpengalaman berkhidmat di hospital kerajaan  ini mengakui biarpun sedar berdepan dengan risiko dan pelbagai cabaran, beliau tekad memberi rawatan kepada pesakit positif Covid-19.

“Melihat keadaan kes bertambah, mewujudkan PKRC satu keperluan, jadi di hotel ini ada 84 bilik yang boleh memuatkan dua hingga tiga pesakit  sebilik dan maksimum 150 keseluruhan, sekali gus memberi kemudahan kuarantin kepada pesakit berkeluarga.

“Kakitangan terdiri daripada pihak pengurusan dan klinikal terdiri daripada empat pegawai perubatan dan empat paramedik yang bertugas dua syif, manakala aspek keselamatan dipantau oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan pihak keselamatan hotel sendiri,” tambahnya.

Petugas barisan hadapan lengkap berpakaian PPE menghantar makanan kepada pesakit di PKRC Azzahra

Suami kepada Farah, Dr. hakim Muhidin berkata, beliau memberi sokongan penuh usaha isterinya.

PKRC yang ditubuhkan ini juga adalah tanggungjawab masyarakat untuk bersama-sama menangani penularan wabak ini, selain membantu pesakit menerima rawatan yang lebih selesa.

“PKRC Azzahra mengenakan caj perkhidmatan bagi menjamin keselesaan, keselamatan dan rawatan bagi pesakit kategori satu dan dua,” kata Hakim.

PKRC Azzahra dikawal ketat.

 

Sementara itu, Jeff Yusmee Yusoff, Pengurus Hotel Sri Malaysia berkata, usaha murni oleh pasangan doktor tersebut disambut baik oleh Hotel Seri Malaysia Kuantan bagi mentransformasi hotel itu menjadi pusat kesihatan.

Bagi pengurusan hotel, pihaknya pula bekerjasama dari segi aspek keselamatan kepada pekerja dan pesakit.

Dalam memastikan operasi PKRC Azzahra mematuhi prosedur operasi standard kesihatan, pengurusan hotel mengupah Radicare (M) Sdn. Bhd., syarikat perkhidmatan sokongan hospital yang diiktiraf Jabatan Kesihatan Negeri Pahang untuk melakukan kerja-kerja sanitasi. – Malaysiagazette