Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tidak membenarkan permohonan pekebun haram Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub untuk memasuki semula kawasan berkenaan bagi mendapatkan barangan mereka.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tidak membenarkan permohonan pekebun haram Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub untuk memasuki semula kawasan berkenaan bagi mendapatkan barangan mereka.

“Ini kerana tindakan ini boleh mengganggu siasatan yang kini sedang giat dilengkapkan sepenuhnya untuk tujuan pendakwaan,” kata JPNP dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu, pengarahnya, telah meneliti laporan media mengenai permohonan para pekebun haram yang ingin memasuki ke kawasan operasi bagi tujuan mendapatkan semula barang milik mereka yang didakwa tertinggal di dalam kawasan HSK Batu Talam.

“Setelah mendapat nasihat serta pandangan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan juga Timbalan Pendakwa Raya, JPNP tidak membenarkan pekebun untuk memasuki HSK Batu Talam untuk mengambil barang milik mereka,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sebelum itu,  permohonan para pekebun berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini.

“Justeru, saya telah meminta beliau mendapatkan sendiri kebenaran untuk pekebun terbabit berbuat demikian daripada Pengarah JPNP,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Turut hadir dalam kunjungan hormat Sin Woon itu ialah Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhamad.

Dalam kenyataan yang sama, Menteri Besar juga menegaskan, kerajaan negeri tegas dan konsisten dalam penguatkuasaan terhadap sebarang penyalahgunaan terhadap HSK Batu Talam yang melibatkan  kawasan seluas 101.17 hektar yang meliputi kebun haram durian Musang King.

“Pada kunjungan hormat itu, mereka ada membangkitkan perkara tentang kerja-kerja penguatkuasaan dalam HSK dan susulan itu, saya menyatakan kerja-kerja penguatkuasaan yang dilakukan tanpa mengira kaum mahu pun kawasan atau daerah ia berlaku ke atas pencerobohan tanah secara haram di negeri ini,” jelasnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Pekebun Durian Dalam Tempoh Fasa 1 Kawalan Pergerakan

Durian kekal ‘Raja Buah’, harga tinggi dari kebun lagi