Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Pemimpin pembangkang dan segelintir pimpinan parti dalam Perikatan Nasional (PN) digesa supaya melaksanakan gencatan politik serta-merta sehingga kes Covid-19 menunjukkan penurunan.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan yang menegaskan perkara itu berkata, pada masa sama, pemimpin PN juga perlu serius dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh.

Tegasnya, kes harian yang tinggi adalah disebabkan oleh kluster tempat kerja namun banyak tempat kerja masih lagi dibenarkan beroperasi pada ketika ini.

“Rakyat tidak mahu lockdown yang berbulan-bulan kerana pendapatan rakyat terjejas teruk dan kesihatan mental turut merudum.

“Perbaiki kelemahan agar tiada ruang untuk pembangkang menggunakan modal tersebut untuk propaganda politik jahat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung dalam masa terdekat seharusnya digunakan untuk menyuarakan keluh resah rakyat dan bukannya untuk menukar perdana menteri di saat negara berada dalam keadaan kritikal.

Katanya, pemimpin pembangkang di Indonesia umpamanya tidak turun ke jalanan untuk menukar presiden mereka, Joko Widodo, walaupun angka harian kes Covid-19 mencecah puluhan ribu dan melibatkan ribuan kematian sehari.

Ini kerana kata beliau, pemimpin pembangkang mereka sedar bahawa waktu ini adalah kritikal buat rakyat dan bukan masa untuk bermain sandiwara politik.

“Perdana Menteri kerajaan PN berdepan tiga tugas getir, pertama, menyelamatkan nyawa rakyat ketika berdepan Covid-19. Kedua, menyelamatkan ekonomi negara daripada ranap dan ketiga, menyelesaikan kemelut politik yang tidak berkesudahan.

“Pelbagai inisiatif kerajaan ketika ini untuk menyelamatkan nyawa dalam memerangi wabak Covid-19. Kadar vaksinasi harian dalam negara kita adalah yang tertinggi di dunia ketika ini dengan purata 400,000 dos sehari.

“Kerajaan juga memberikan peruntukan khas kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan kakitangan perubatan agar sistem kesihatan kita tidak lumpuh seperti di India. Oleh itu, seharusnya pimpinan parti politik memfokuskan kepada penyelesaian masalah Covid-19,” ujarnya.

Mengulas lanjut Shahir berkata, senario politik hari ini semakin panas apabila sebilangan pemimpin politik menggunakan propaganda jahat untuk mendesak Perdana Menteri meletak jawatan atas alasan kegagalan menyelesaikan masalah Covid-19.

Katanya, memang diakui bahawa kerajaan PN tertubuh untuk menyelesaikan kemelut politik Pakatan Harapan yang gilakan kuasa menduduki kerusi Perdana Menteri, hingga menyebabkan Perdana Menteri ketujuh meletakkan jawatan.

Disebabkan itu ujarnya, PN ditubuh walaupun dengan majoriti kecil, demi memfokuskan kepada penyelesaian masalah Covid-19 pada ketika itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Yang cuba cetus provokasi sekarang adalah parti-parti melayu..parti-parti lain buat diam tunggu dan lihat sahaja sampai rakyat dan ahli muak tengok parti-parti melayi bertelagah. Gajah bergaduh semut jadi mangsa. Kucing berkelahi Anjing tepuk tangan.

Comments are closed.