Minister at Prime Minister’s Department (Religious Affairs), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri apologised to all hajj congregation for not being able to perform their hajj this year malaysia Exclusive interview with the Minister at Prime Minister’s Department (Religious Affairs), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri at the Islamic Complex in Putrajaya. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 17 APRIL 2021.
Dr. Zulkifli Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju meneruskan peruntukan one-off RM100 juta untuk menaiktaraf dan menyelenggara institusi pendidikan agama di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, peruntukan khas itu disalur secara berfasa tahun ini.

Menurut beliau, fasa pertama RM30 juta diperuntukkan dengan memberi keutamaan kepada institusi yang terkesan akibat fenomena cuaca Monsun Timur Laut.

Katanya, sebanyak 520 institusi yang menerima peruntukan itu ialah institusi pondok, tahfiz dan sekolah agama selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima baki peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

Dr. Zulkifli berkata, kerajaan juga telah memperuntukan RM481 juta bagi membiayai elaun guru dan aktiviti Kelas Fardu Ain (Kafa).

Peruntukan itu telah disalurkan kepada pihak berkuasa agama negeri melalui tiga fasa agihan iaitu suku pertama RM120.254 juta, diikuti agihan suku kedua RM120,254 juta dan agihan suku ketiga RM107,944 juta.

Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam meneruskan agenda pendidikan Islam dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

“Jakim juga prihatin dengan kesusahan dan kebajikan guru Kafa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menetapkan semua guru Kafa layak dibayar elaun penuh bermula Mac 2020 sehingga kini selagi mana PKP masih diteruskan.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak terlibat kerana memberi kerjasama erat kepada kerajaan dan Jakim dalam satu setengah tahun ini untuk meninggikan syiar Islam.

“Secara khususnya, kita telah berjaya melaksanakan program agama secara bersinergi dan terancang sehingga agama Islam terus berada di tempat yang tinggi lagi mulia,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Konvensyen Murabbi Ummah peringkat kebangsaan secara dalam talian, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli turut menyatakan, kerajaan telah memperuntukkan RM56.852 juta untuk kenaikan elaun kepada 4,000 guru takmir dan bayaran khas RM500 secara one-off kepada 27,304 imam, bilal, siak, noja dan marbut.

Ujar beliau, kerajaan juga memperuntukkan RM5.9 juta dalam bentuk caruman kepada golongan berkenaan bagi Pakej Program Perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri PERKESO.

“Bayaran penuh elaun Guru Takmir dari RM800 kepada RM900 sebulan itu telah dimulakan sejak Mac tahun lalu sehingga Disember tahun ini, sama ada kelas pengajian takmir dapat dilaksanakan atau sebaliknya.

“Namun, kita mengesyorkan Guru Takmir melaksanakan kelas pengajian takmir secara dalam talian bagi meneruskan usaha pembelajaran dan pengajaran dalam tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Kata beliau, pihaknya akan terus membantu golongan yang terjejas sumber pendapatan dan mengalami tekanan emosi  akibat pandemik Covid-19  tanpa mengira agama, bangsa serta kedudukan.

Usaha itu tidak terkecuali juga kepada murabbi ummah yang sedikit sebanyak terjejas sumber pendapatan dan pekerjaan. – MalaysiaGazette