Penduduk umur muda di negara ini menurun. Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Jumlah penduduk Malaysia pada 2021 dianggarkan 32.7 juta berbanding 32.6 juta pada 2020 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 0.2 peratus.

Penurunan kadar pertumbuhan penduduk ini disebabkan oleh bilangan penduduk bukan warganegara yang lebih rendah iaitu daripada 3.0 juta (2020) kepada 2.7 juta (2021).

Ini adalah selari dengan penutupan pintu sempadan negara dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Kadar pertumbuhan penduduk warganegara kekal stabil pada 1.0 peratus dengan pertambahan penduduk daripada 29.7 juta pada 2020 kepada 30.0 juta pada 2021”.

Komposisi penduduk warganegara pada 2021 meningkat kepada 91.8 peratus iaitu peningkatan sebanyak 0.7 mata peratus berbanding tahun 2020 (91.1%) manakala komposisi penduduk bukan warganegara terus menurun daripada 8.9 peratus kepada 8.2 peratus bagi tempoh yang sama.

Pada 2021, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 16.8 juta dan 15.9 juta dengan nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Bagi tempoh 2020-2021, nisbah jantina bagi warganegara dan bukan warganegara masing-masing kekal pada 102 dan 156 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Komposisi penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pada 2021 menurun kepada 23.0 peratus berbanding 23.3 peratus pada 2020 manakala, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) juga menurun daripada 69.7 peratus pada 2020 kepada 69.6 peratus pada 2021.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, kemerosotan ini disebabkan oleh penurunan penduduk bukan warganegara yang kebanyakan terdiri daripada pekerja asing.

Peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.0 peratus kepada 7.4 peratus bagi tempoh yang sama.

Umur penengah turut meningkat daripada 29.3 tahun pada 2020 kepada 29.6 tahun pada 2021.

Mohd Uzir menambah, peratusan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas mencatatkan peningkatan tahun ke tahun.

Berdasarkan unjuran penduduk 2010-2040, Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada 2030 dengan penduduk berumur 60 tahun ke atas mencecah 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Pada 2021, penduduk berumur 60 tahun dan lebih meningkat kepada 3.6 juta (11.2%) berbanding 3.5 juta (10.7%) pada 2020.

Daripada 30.0 juta penduduk warganegara, komposisi Bumiputera meningkat 0.2 mata peratus kepada 69.8 peratus pada 2021 berbanding 69.6 peratus pada 2020.

Walau bagaimanapun, komposisi penduduk Cina menurun kepada 22.4 peratus (2020: 22.6%) manakala India dan Lain-lain masing-masing kekal pada 6.8 peratus dan 1.0 peratus.

Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada 2021 ialah Selangor (20.1%) diikuti oleh Sabah (11.7%) dan Johor (11.6%).

Sebaliknya, Labuan dan Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu masing-masing 0.3 peratus dan 0.4 peratus.

Tetapi Putrajaya mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk tahunan tertinggi bagi tempoh 2020-2021 iaitu 5.4 peratus dengan penduduk muda (0 – 14 tahun) adalah tertinggi dengan 33.4 peratus manakala Sabah mencatatkan jumlah penduduk umur bekerja (15 – 64 tahun) tertinggi dengan 73.3 peratus pada 2021.
Secara purata, Malaysia mempunyai kepadatan penduduk 99 orang per kilometer persegi.

Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk tertinggi dengan 7,188 orang per kilometer persegi, diikuti oleh Putrajaya (2,354 orang) dan Pulau Pinang (1,691 orang).

Sarawak mempunyai kepadatan penduduk terendah dengan (23 orang per kilometer persegi), diikuti oleh Pahang (47 orang) dan Sabah (52 orang). – MalaysiaGazette