KOTA BHARU – Bekas Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang direman bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Mohd Rusli Ahmad mengeluarkan perintah itu di Mahkamah Majistret di sini, selepas lelaki berusia 60 tahun itu direman selama tujuh hari bermula Jumaat lepas.

Mahkamah membenarkan lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, tiga individu termasuk bekas pengurus besar AKSB itu direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah tersebut yang berlaku antara 2015 dan 2019 mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Dua individu lain, iaitu pegawai AKSB berusia 39 tahun dan pengarah projek sebuah syarikat berusia 42 tahun, yang ditahan Khamis lepas, difahamkan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas direman tiga hari.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan tiga anggota polis yang direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah RM200,000, turut dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin.

Minggu lepas media melaporkan pegawai kanan berpangkat ASP itu didakwa meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah. – Bernama