KUALA LUMPUR – Pemegang amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Datuk Sivakumar Nadarajah melancarkan program tuisyen dalam talian secara besar-besaran secara percuma seluruh Malaysia pada 14 Julai lalu.
Sivakumar atau lebih dikenali DSK berkata, sejak dilancarkan tidak sampai dua minggu sahaja – seramai 1,023 pelajar telah mendaftar dan seramai 24 guru sukarelawan akan memulakan pembelajaran atas talian bermula minggu depan.
“Sebenarnya inisiatif ini saya bersama-sama kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam dan juga pasukan DSK dicetuskan selepas mendapat panggilan telefon daripada ibu bapa melahirkan kebimbangan dengan keadaan pandemik ketika ini.
“Kita juga sedia maklum tentang kebimbangan ini lagi-lagi kelas tuisyen secara fizikal tidak dapat dilaksanakan kerana PKP saban kali angka Covid-19 meningkat malah ketika ini sememangnya telah dinasihatkan untuk tidak berkumpul beramai-ramai.
“Jumlah kelas virtual ini termasuklah dari Sabah, Sarawak dan 10 buah negeri lain ketika ini, mungkin selepas ini bilangan ini juga akan bertambah dan sukarelawan akan meningkat, inilah norma baharu ketika ini kerana pendidikan adalah satu keperluan asas,” katanya hari ini.
DSK juga melahirkan keyakinan kelas tuisyen secara atas talian merupakan penyelesaian terbaik untuk pembelajaran luar bilik darjah kerana ia mampu memberikan gambaran yang lebih baik kepada para ibu bapa yang memantau perkembangan anak mereka.
“Kami percaya program ini dapat meringankan beban ibu bapa serta membantu para pelajar dalam pembelajaran mereka malah ini adalah salah satu cara yang dapat kami bantu para pelajar untuk terus berjaya.
“Walaupun dalam keadaan pandemik sekarang ini, Kami yakin bahawa setiap pelajar haruslah mendapat pendidikan yang berkualiti dan optimum,” ujarnya.
DSK mendedahkan setakat ini pelajar-pelajar yang bakal mengikuti kelas tuisyen atas talian termasuklah dalam kalangan sekolah rendah seramai 389 pelajar, untuk kumpulan kedua pula dalam kalangan PT3 seramai 277 pelajar.
“Juga pelajar-pelajar yang akan ambil SPM iaitu seramai 341 orang sekaligus yang paling ramai mengikuti pembelajaran atas talian ini dan seramai 1,023 akan mendapat manfaat daripada sesi-sesi ini.
“Bagi mereka yang terlepas untuk mendaftar dalam kumpulan pertama, jangan risau kerana kami mempunyai perancangan untuk mengadakan pendaftaran untuk kumpulan kedua. Pendaftaran akan dibuka tidak lama lagi,” katanya.- MalaysiaGazette