GOMBAK – Penerimaan masyarakat Orang Asli di sini terhadap vaksin Covid-19 semakin baik.
Malah semakin ramai dalam kalangan orang asal itu mahu mendapatkan suntikan imunisasi itu selepas ada ketua mereka sendiri sudah selesai mengambil dua dos baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Kampung Orang Asli Batu 16 Gombak, Ude Hamid, 49, berkata, pada mulanya komunitinya tidak percaya dengan keberkesanan vaksin namun keyakinan itu timbul selepas dia sendiri selesai melengkapkan dua dos.
“Pada mulanya mereka agak segan, sejak saya dapat dua dos ini, tapi sekarang ramai Orang Asli sudah ambil vaksin sebab kerajaan sarankan (ambil vaksin) takut nanti kita tak tahu bulan berapa nanti, siapa yang ambil dua dos boleh merentas negeri.
“Lagi pun kita takut jangkitan, mencegah jangkitan Covid-19,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden Pertubuhan Generasi Gabungan Aspirasi Rakyat (GEGAR), Fitry Kamal menyerahkan bantuan keperluan asas atau bakal makanan kepada 10 penduduk orang asli yang terjejas dan hilang pendapatan akibat pandemik.
Menurutnya, sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu hingga sekarang, ramai masyarakat Orang Asli di kawasan itu terjejas pendapatan mereka kerana kesukaran menjual hasil kebun dan hutan ke bandar.
“Bagi yang bekerja di luar itu memang terjejas sebab kadang-kala mereka ada kerja bergilir, itu pun kalau ada surat daripada majikan, kalau tak ada kena cutilah.
“Biasanya, makanan dan keperluan dapur yang sangat diperlukan penduduk kampung. Ada juga bantuan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan NGO yang bagi barang basah,” katanya.
Ude turut berbesar hati apabila masih ada pihak menghulurkan bantuan kepada komuniti pribumi itu di kawasan pedalaman yang terbatas pergerakan dan tertakluk kepada had 10 kilometer radius.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka kerana Gegar dan Pemuda Bangsa sudi memberi bantuan makanan, terima kasih banyak kerana memberi sumbangan penduduk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette