Anifah Aman

KOTA KINABALU – Kerajaan tidak seharusnya malu untuk meminta bantuan negara luar termasuk China dalam menangani pandemik Covid-19.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman melahirkan kebimbangan berikutan keadaan negara yang semakin kritikal dengan angka Covid-19 semakin meningkat berharap pendekatan diplomasi dapat digunapakai pada masa ini.

Malah katanya, antara negara pada pandangannya boleh Malaysia tampil memohon bantuan berikutan pengalaman dan kepakaran menangani virus itu ialah China.

Anifah yang berpengalaman sebagai Menteri Luar selama 10 tahun berpendapat, China mempunyai pengalaman dan kepakaran menangani Covid-19 dan Malaysia perlu memanfaatkan situasi itu untuk meminta bantuan dari republik itu.

“Kita tidak perlu rasa malu untuk minta bantuan sebaliknya gunakan pendekatan diplomasi mohon bantuan terutamanya China, lantik duta khas bagi sokongan serta pertolongan dari China.

“Kita memohon penghantaran 2,000 doktor, jururawat serta petugas kesihatan bagi membantu pejuang barisan hadapan kita memerangi pandemik ini, sebelum ini kita ada masalah kekurangan petugas hadapan ini.

“Malah tenaga pakar dari China ini sememangnya sudah berpengalaman dalam memerangi Covid-19 di negara mereka jadinya lebih senang untuk bantu kita pula.

“Jangan lupa juga pengalaman China dalam membina hospital baharu dalam tempoh singkat ketika pandemik memuncak di negara itu perlu dipelajari, negara Brunei Darussalam sendiri berjaya membina hospital Mega dengan bantuan China,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sambung Anifah lagi, bantuan kepakaran dari China diperlukan bagi membina hospital dengan kapasiti lebih besar seperti 5,000 katil di Kuala Lumpur dan Selangor serta 3,000 katil di Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri lain.

“Ini sebenarnya satu pendekatan cukup penting untuk memastikan sistem kesihatan awam di negara ini mampu bertahan berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat.

“Hakikatnya sudah tiba masanya untuk kerajaan mengubah taktik menguruskan pandemik Covid-19 ini bagi mendapatkan kaedah penyelesaikan yang lebih baik, jangan biarkan rakyat terus sengsara kerana sesuatu perlu dilakukan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anifah turut menggesa kerajaan  mula membina makmal mega seperti negara luar ketika ini bagi membolehkan proses saringan dilakuan secara besar-besaran.

“China ketika ini sudah mevaksin lebih 14 bilion rakyatnya malah dalam tempoh sembilan hari sahaja sudah memberikan 100 juta dos vaksin.

“Kita tidak boleh berbangga dengan angka 400,000 ketika ini, kita sudah jauh ketinggalan pada masa ini dan angka Covid-19 saban hari sudah melebihi 11,000 malah kematian sudah mencecah ratus,” tegasnya.

Anifah berkata, sesuatu perlu dilakukan memandangkan rakyat sudah semakin menderita  malah ada yang sanggup membunuh diri kerana sudah tidak tahan dengan tekanan.

“Pada masa ini adalah lebih penting untuk kita henti berpolitik, ini bukan masanya. Masa ini adalah untuk rakyat.

“Hentikan amalan politik bersifat perkauman, berhenti bercakap seperti pakar dalam segenap bidang dan berhenti melanggar garis panduan (SOP) yang ditetapkan seolah-olah mereka lebih istimewa daripada rakyat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jual vaksin dalam pasaran terbuka percepatkan imuniti kelompok – Anifah