KUALA LUMPUR – Politik kebencian kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyebabkan gabungan itu tumbang pada Pilihan Raya Umum 2018, kata Datuk Puad Zarkashi.
Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, biarpun UMNO dan BN pernah ditumbangkan oleh budaya jahat itu, namun ia tidak terganggu dengan politik kebencian dan memilih untuk jalan terus.
“Kita pernah dengar kononnya 40,000 pengundi hantu diimport guna 16 penerbangan khas setiap hari masa PRU-13. PRU-14 timbul pula cerita wujud pengundi hantu Bangladesh.
“Ada juga yang mengaku kerja dia ialah menghasut. Apakah itu bukan politik kebencian?
“BN pun jalan terus walau pernah jadi mangsa politik kebencian. BN tidak mungkin tumbang tanpa politik kebencian,” kata Puad dalam satu kenyataan, hari ini.
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan persekitaran politik negara dipenuhi dengan kebencian yang terlalu menebal.
Jelas Anwar, pelbagai pelaksanaan yang dibuat oleh kerajaan sering dijadikan isu politik oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Puad berkata, politik kebencian tidak menggunakan fakta dan ia dilihat semakin sebati dengan budaya politik di Malaysia.
“Perdana Menteri memang betul. Fakta tolak tepi. Itulah politik kebencian tetapi budaya ini diguna pakai tanpa sempadan oleh semua pihak.
“Ada juga yang mengaku kerja dia ialah menghasut. Apakah itu bukan politik kebencian? Perdana Menteri wajar dipuji kerana tidak terganggu dengan politik kebencian. Jalan terus,” katanya. – MalaysiaGazette