Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sekolah untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka akan dibuka secara berperingkat  mulai 1 September 2021.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ketetapan itu dibuat mengambil kira kadar vaksinasi terkini.

Bagaimanapun, KPM mengambil kira penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal. KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka,” kata kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu, KPM berkata, sehingga 16 Julai ini, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30%) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33%) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Ekoran perkembangan semasa itu, sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini.

“Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM,” tambah KPM.

Kementerian berkenaan dalam masa yang sama memberi jaminan akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.-MalaysiaGazette