Chung Guan (baju merah) dituduh miliki 1.77 juta rokok seludup di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal hari ini.

NIBONG TEBAL – Seorang penyelenggara pendingin hawa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi, di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki lebih 1.77 juta batang rokok seludup pada Januari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Ho Chung Guan, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aziana Azib.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki pelbagai jenama rokok dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,770,000 batang bernilai RM1,182,480 yang dilarang pengimportannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di No. 11A, Lorong Hijauan Hill 7, Taman Hijauan Hill, Simpang Ampat di sini.

Chung Guan (baju merah) dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.


Chung Guan didakwa melakukan kesalahan tersebut pada jam 11 pagi 7 Januari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(aa) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara di antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali, manakala tertuduh diwakili peguam, Zainal Akram.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta seorang penjamin.

Kes itu akan disebut semula pada 19 Ogos depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast