Noraini Ahmad bergambar dengan anak-anaknya pada Program Malaysia Gazette (MG) Prihatin 2021 di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Luka di tangan nampak darahnya, luka di hati tiada siapa yang tahu.

Begitulah realiti dihadapi Noraini Ahmad, 44, dalam membesarkan lima anaknya.

Beliau tabah membesarkan anak-anaknya bersendirian setelah suami tercinta meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu kerana sesak nafas.

Baginya, hanya kepada Allah beliau mengadu dan berserah.

Kalimah-kalimah zikir menjadi teman sejati buatnya agar sentiasa diberikan ketenangan mendidik kesemua anak-anaknya yang masih kecil.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul buat Noraini apatah lagi anak keduanya, Muhammad Nasrullah Tarmizi,9, disahkan menghidapi cerebral palsy sejak  enam tahun yang lalu.

Penyakit cerebral palsy melibatkan kesukaran dalam mengawal postur, pergerakan dan keseimbangan tubuh badan disebabkan oleh terdapatnya gangguan terhadap kebolehan dalam mengawal pergerakan otot.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku pada anaknya itu, Noraini meletakkan hanya satu perkataan buat anaknya iaitu shafaat.

“Bagi saya… biarlah dia menjadi shafaat buat saya di sana (syurga) nanti.

“Inilah tanda Allah sayang pada saya, sayang pada keluarga saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya semalam.

Begitulah cekalnya hati wanita dan tiada rasa sedih pada riak wajahnya malah anak matanya tidak lari daripada memandang Muhammad Nasrullah atau dipanggilnya abang.

Panggilan abang kerana Muhammad Nasrullah merupakan anak sulung lelaki selepas anak perempuannya Puteri Khairulniza,11 tahun diikuti Puteri Quratul Ain,7, Puteri Nur Zahirah,5, dan Muhammad Fateh,4.

Noraini Ahmad memberi makan kepada anaknya Muhammad Nasrullah Tarmizi melaluit tiub kerana menghidap penyakit Cerebral Palsy pada Program Malaysia Gazette (MG) Prihatin 2021 di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2021.

Setiap kali abang merengek, itulah tanda bahagia buat hati seorang ibu.

“Ye, sayang bonda. Abang nak apa tu? Nak tukar kartun lain ye,” katanya sambil mengusap kepala Muhammad Nasrullah sambil mencapai komputer riba menukar kartun kegemaran anaknya.

Kartun-kartun seperti Upin & Ipin dan Pada Zaman Dahulu menjadi kegemaran anak syurga itu.

“Rasanya abang sudah hafal setiap kartun-kartun ni dan tak pernah jemu. Kuat ketawa abang setiap kali menontonnya. Dulu, langsung tak ada respons kalau kita panggil. Diam sahaja.

“Sekarang, alhamdulillah, sejak dua tahun kebelakangan ini, abang dah banyak perubahan,” cerita Noraini sambil membetulkan kedudukan abang.

Penyakit Muhammad Nasrullah membuatkan dia memerlukan penjagaan rapi setiap masa.

“Ada masa kaki atau tangannya terlipat. Kena betulkan, tak nak dia sakit. Anak-anak yang lain memahami keadaan ini dan boleh ambil tanggungjawab menjaga satu sama lain,” ceritanya.

Saat kami berbicara, empat lagi anaknya sedang enak menjamu ayam goreng yang kami bawa.

Pertemuan kali kedua pada hari sama itu demi menunaikan permintaan si kecil yang mahu makan ayam goreng.

Jadi tidak sampai hati untuk menangguh permintaan anak kecil itu, usai tugasan, pada petang hari yang sama kami bergegas membawakan makanan seperti yang diminta.

“Sedaplah ayam ini, terima kasih auntie,” ucap salah seorang daripada mereka.

Noraini merupakan salah seorang penerima sumbangan MG Prihatin bagi edisi kali ini.

Tutur kata lembut Noraini tidak sama dengan kekuatannya menjadi ibu dan ayah buat anak-anaknya.

Mengimbas bagaimana abang disahkan menghidap celebral palsy, menurut Noraini, segala-galanya bermula ketika anaknya itu berusia dua tahun enam bulan.

“Dulu, abang ini aktif. Sama macam budak lain yang sebaya dia. Pada satu hari tu, abang muntah-muntah. Saya pergi klinik swasta dan diberikan ubat tapi abang masih sama.

“Saya bawa abang ke klinik kerajaan pula, juga diberi ubat dan kami diminta pantau keadaan jika masih sama perlu dibawa ke hospital.

“Berminggu-minggu, keadaan masih sama dan akhirnya kami ke hospital dan doktor mendapati ada cecair di bahagian paru-parunya,” katanya.

Noraini dan suami dimaklumkan, pembedahan kecemasan harus dilakukan sesegera mungkin demi menyelamatkan nyawa anaknya.

“Ketika itu, anak ketiga saya berusia lapan bulan. Suami yang berjaga di hospital. Tapi hati seorang ibu, mana mahu nak dengar sahaja, mesti nak tengok depan mata.

“Ketika pembedahan, ventilator tercabut dan abang kaku hampir lima minit. Selepas segala ikhtiar pihak hospital, akhirnya abang kembali bernafas. Cumanya, keadaan abang tidak lagi seperti sebelum ini,” ceritanya.

Pandangan Noraini masih pada abang, kali ini lebih dalam dan bagai ada sesuatu yang terbungkam di hatinya.

Tiub di bahagian perut ini perlu ditukar setiap enam bulan sekali dengan kosnya RM700 untuk satu tiub. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2021.

“Abang tak lagi girang seperti kanak-kanak seusianya, tak lagi mampu berlari. Abang hanya duduk di kerusi roda. Cerebral Palsy membataskan segala-galanya buat abang.

“Dia tak boleh makan, hanya minum susu saja. Sesekali saya berikan juga dia rasa aiskrim atau makanan yang lembut.

“Dulu dia boleh makan. Tapi kena tunggu dua jam baru habis makan. Sebab makanan tu perlu betul-betul hancur dan telan, takut nanti tersedak, lain pula ceritanya.

“Tiub susu ni sentiasa kena pasang dan mudah sikit. Tiub ini kena tukar enam bulan sekali. Mahal juga, RM700 untuk tiub yang di bahagian perut,” luah Noraini.

Dalam keadaan tidak bekerja, Noraini bergantung sepenuhnya pada duit Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) arwah suaminya setiap bulan untuk menampung kehidupan mereka.

“Pusat Zakat pun ada bantu dengan bayarkan sewa rumah dan keperluan susu buat abang,” akuinya.

Ditanya bagaimana dia mengumpul kekuatan membesarkan anak-anaknya, Noraini terdiam seketika dan berkata;

“Saya pernah tertekan. Empat tahun lalu, selepas kehilangan arwah suami, saya terasa kehilangan sangat-sangat. Saya perlu uruskan abang ke hospital.

“Pada masa sama, anak-anak lain perlukan perhatian memandangkan anak bongsu saya masih menyusu badan hingga usianya tiga tahun.

“Sedih juga hati saya. Sebab saya tak tahu mana yang perlu didahulukan sedangkan semua keutamaan saya, mereka ini nyawa saya.

“Saya pergi banyak klinik sampai kena marah sebab tak tahu saya ni sakit apa. Bila doktor tanya sakit apa, saya cakap sakit belakang, kepala berdenyut-denyut, rasa seram sejuk, hati berdebar-debar.

“Simptom stress, itu sahaja doktor cakap. Ditanya lagi stress kenapa, saya terdiam. Sampai kena marah,” katanya dengan ketawa.

Pulang ke rumah, Noraini mengerjakan solat, mengaji dan berzikir.

“Tenang. Itu saja yang boleh saya katakan. Hilang rasa sakit-sakit badan. Saya redha dengan semua ketentuan untuk saya. Saya mula susun satu-satu jadual diri saya. Saya tidak mahu terlalu mengikut rasa sedih, anak-anak depan mata saya perlukan saya.

“Setiap masa saya akan berzikir memohon agar terus diberikan kekuatan untuk saya.

“Anak-anak masih kecil, perjalanan mereka masih jauh. Saya mahu mereka berjaya dan menjadi anak-anak yang baik. Hanya itu doa saya buat mereka.

“Pernah juga saya berdoa agar keajaiban berlaku pada abang. Perkara ini juga saya tanyakan pada doktor. Walaupun peratusan itu nipis, tapi doktor kata tak mustahil boleh sembuh.

“Sekurang-kurangnya saya lega tengok perubahan abang hari ini,” katanya tenang dan menerima seadanya ujian dunia untuk dirinya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast