Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan menuju ke arah Pantai Timur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada 20 Julai 2021 di Tol Bentong, Pahang. Foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2021.
Saudara Pengarang,
Buat kali kedua berturut-turut, umat Islam di Malaysia menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih melarang pelbagai aktiviti untuk membendung penularan wabak tersebut, termasuk larangan rentas negeri dan aktiviti kunjung-mengunjung.
Namun, negara terus tergempar dengan gambar-gambar yang tular di media sosial dan laporan di media arus perdana menunjukkan kesesakan lalu lintas di plaza tol tertentu khasnya yang menuju ke Pantai Timur menjelang perayaan tersebut.
Saya berani menyatakan ramai dalam kalangan pengguna terbabit adalah mereka yang melanggar larangan rentas negeri untuk pulang menyambut Aidiladha di kampung halaman.

Pihak polis sudah pun memberi amaran tegas bahawa surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk ‘menghalalkan’ rentas negeri tidak akan diterima kali ini dan mereka yang melanggar arahan akan dikompaun.

Kita perlu akui, dalam kalangan rakyat Malaysia, memang ramai yang ‘pakar’ dalam mencari kelemahan apa juga peraturan dan menyalah guna kelebihan untuk kepentingan diri.

Atas alasan ‘kecemasan’, sudah tentu ramai memohon kebenaran polis, tetapi tujuan sebenarnya adalah mahu merentas negeri untuk bersama ahli keluarga di kampung merayakan Aidiladha.

Dalam hal ini, tidakkah mereka yang berbuat demikian berasa malu dan kebertanggungjawaban terhadap diri sendiri dan orang lain?

Apakah kita masih tidak insaf dengan kes Covid-19 yang naik mendadak selepas Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai yang lepas? Adakah mereka lupa Covid-19 masih berada dalam komuniti, masih mengancam negara dan nyawa kita dengan kes jangkitan dan kematian meningkat mendadak dalam jumlah yang sangat menakutkan?

Adakah mereka yang ingkar arahan, bertindak merentas negeri semata-mata untuk menyambut Aidiladha di kampung atau apa juga alasan selepas ini mahu situasi yang lalu itu berulang lagi?

Saya juga percaya dalam ramai yang ingkar arahan PKP, pasti terselit juga mereka yang mengkritik kerajaan dengan dakwaan gagal mengawal penularan wabak berbahaya berkenaan.

Pasti mereka juga tidak henti-henti berkongsi tanda pagar #KerajaanGagal di media sosial dan menuduh kerajaan bersikap pilih kasih dalam situasi yang dirujuk mereka sebagai kes ‘kayangan’ atau apabila ada orang kenamaan atau selebriti melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Saya akui, terdapat ruang untuk kerajaan memperbaiki usaha menangani wabak ini. Tetapi seperti kata pepatah Inggeris, two wrongs don’t make a right atau takrifannya, jika seseorang itu melakukan kesalahan, kita tidak wajar menggunakannya sebagai alasan untuk turut melakukan kesalahan sama kerana ia akan hanya memburukkan keadaan.

Di sinilah kematangan umat Islam dituntut supaya menghayati hikmah di sebalik segala sekatan yang dikuatkuasakan dalam kita merayakan hari raya korban ini.

Hari Raya Aidiladha menuntut kita menginsafi semangat keimanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail demi Allah SWT.

Sempena Aidiladha ini, seelok-eloknya umat Islam mendalami prinsip “pengorbanan” dalam mengekang penularan Covid-19 dan jauhi dari bertindak mengikut nafsu atau mengkritik pihak-pihak tertentu tanpa muhasabah diri.

Abdul Hakim Dahlan
Desa Jaya, Kepong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast