Keadaan banjir di Henan. foto Agensi

BEIJING – Hujan lebat telah menyebabkan banjir teruk di beberapa bahagian di tengah China, memaksa penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

Sebahagian besar jalan raya dinaiki air.

Lebih daripada 10,000 orang penduduk di wilayah Henan telah dipindahkan ke tempat perlindungan berikutan hujan lebat.

Sekurang-kurangnya 12 orang maut di bandar Zhengzhou sejak banjir bermula.

Lebih daripada 12 bandar terjejas dengan jalan utama yang terpaksa ditutup dan penerbangan dibatalkan.

Henan, yang mempunyai sekitar 94 juta orang penduduk telah mengeluarkan peringatan amaran tertinggi setelah menerima hujan yang aktif secara luar biasa.

Banyak faktor menyumbang kepada banjir, tetapi perubahan iklim menjadi kemungkinan hujan yang melampau.

Terdapat kebimbangan bahawa sebuah empangan di wilayah Henan akan pecah selepas mengalami kerosakan akibat ribut baru-baru ini.

Air telah melepasi 20 meter (65 kaki) di empangan di bandar Luoyang dan tentera telah dikerahkan ke daerah itu.

Kenyataan amaran dari tentera memaklumkan empangan tersebut boleh runtuh bila-bila masa sahaja.

Di Zhengzhou, rakaman video yang tidak disahkan menunjukkan penumpang di kereta bawah tanah yang dinaiki air dengan air sampai di bahu mereka.

Jumlah hujan di Zhengzhou sejak tiga hari kebelakangan ini dilaporkan sama dengan jumlah satu tahun.

Hujan turun dijangka berterusan di wilayah ini sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam lagi. – MalaysiaGazette