Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Dalam tempoh 16 bulan dari 24 Mac 2020 sehingga 17 Julai lalu, sebanyak 465 penafian berita palsu dan berita tidak benar telah disiarkan serta diperjelaskan kepada masyarakat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 416 siaran penafian dikeluarkan bagi tempoh 24 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020.

Katanya, sebanyak 49 penafian lagi disiarkan bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 17 Julai lalu.

“Bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat dengan pantas, KKMM telah menubuhkan Pasukan Respon Pantas (PRP) yang dianggotai pegawai berkemahiran daripada KKMM, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian-kementerian dan agensi berkaitan.

“Laporan secara pantas ini juga dibantu pihak media dalam menyampaikannya kepada masyarakat agar lebih cakna dengan maklumat yang diterima sebelum mereka mempercayainya,” katanya pada sidang media dalam talian, hari ini.

Menurut Saifuddin, bagi membendung tindakan mereka yang sengaja menimbulkan keadaan tidak tenteram dalam kalangan masyarakat, kerajaan telah melaksanakan beberapa perkara.

Ujar beliau, perkara itu ialah polis telah mengambil tindakan terhadap berita palsu berkaitan dengan Covid-19 di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang telah dikuatkuasakan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat.

Katanya, sepanjang tempoh 18 Mac 2020 hingga 11 Julai lalu, sebanyak 282 kes telah diambil tindakan, 163 kes masih dalam siasatan, 119 kes telah selesai disiasat, 29 kes telah diambil tindakan tuduhan di mahkamah (enam daripadanya di bawah Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No.2) 2021, dan tiga kes telah dijatuhi hukuman.

“Kita juga turut memberi perhatian serius terhadap penularan maklumat yang tidak benar berkaitan Institusi Diraja, perkara berkaitan agama dan juga perkauman.

“Tiga perkara yang sangat sensitif ini boleh mencetuskan keadaan tidak diingini malah, perkara berkaitan kedaulatan Raja-Raja Melayu juga sentiasa dijunjung tinggi dalam tindakan kerajaan,” katanya.

Beliau menyatakan, polis telah menyiasat sebanyak 743 kes berkaitan Royalty, Religion dan Race (3R) bagi tempoh 2015 hingga Jun lalu dan 80 daripada kes itu telah didakwa di mahkamah.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan menangani perkara yang boleh memudaratkan negara.

“Selain tindakan itu, KKMM melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut melaksanakan tindakan penguatkuasaan perundangan dan juga advokasi,” katanya.

Kata Saifuddin, antara tindakan penguatkuasaan itu ialah ptomosi dan publisiti yang dilakukan secara berterusan merangkumi Pesanan Khidmat Awam (PKA), siaran kapsul, hebahan radio, program bual bicara, rancangan TV khas ‘Pastikan Sahih’ oleh Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM); dan memperkenalkan tanda pagar #PastikanSahih #TidakPastiJanganKongsi.

Tindakan lain yang diambil ialah aspek siasatan, yang mana bagi siasatan yang dijalankan polis, pihak MCMC memberikan bantuan teknikal termasuk dari aspek pembekalan maklumat risikan, pemeliharaan kandungan, analisa forensik digital serta dalam berkomunikasi dengan penyedia platform media sosial.

Ditanya mengenai peranan Sebenarnya.my, beliau menjelaskan, sejak Mac 2020 hingga 30 Jun lalu, portal itu telah menerima lebih 174 juta layaran secara akumulatif, manakala secara purata menerima lebih 11.43 juta “hits” setiap bulan.

Katanya, peningkatan mendadak telah berlaku terhadap “hits” layaran berikutan penularan berita diragui kesahihannya berkenaan pandemik Covid-19 yang sedang melanda. – MalaysiaGazette