Pendakwah, Ustaz Ebit Lew berjalan keluar selepas membuat laporan polis mengenai dua individu yang memburukkan beliau di laman sosial di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 21 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ebit Lew menegaskan beliau tidak pernah membuat sebarang kutipan mahupun tabung bagi perbelanjaan bantuan ke Palestin baru-baru ini.

Sebaliknya beliau berkata, segala perbelanjaan yang digunakan bagi tujuan tersebut adalah daripada duit poket sendiri dan rakan-rakannya yang turut menyertai rombongan itu.

Katanya, dia tidak perlu mendedahkan jumlah perbelanjaan digunakan bagi membeli barang-barang yang dihantar dan semua itu biarlah menjadi rahsia antara beliau dan Allah SWT.

“Untuk pengetahuan semua, saya pergi dengan duit saya sendiri…saya tak pernah buka satu tabung pun untuk pergi ke Gaza. Saya pergi dengan sahabat-sahabat saya yang jujur dan tak perlu saya beritahu nama-nama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas bagi memberi penjelasan mengenai tuduhan serta tohmahan melampau yang dilempar terhadap diri dan keluarganya.

Ebit berkata, beliau berasa sangat sedih apabila dituduh macam-macam dan disebabkan itu beliau bangkit mempertahankan dirinya dan keluarga daripada terus difitnah.

Jelasnya, beliau tidak pernah menerima cercaan yang sangat dahsyat sebelum ini dan kata-kata kesat yang diterimanya sangat mengganggu emosi khususnya kepada keluarga dan arwah ayahnya yang mengetahui perkara itu sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 13 Julai lalu.

Tambah beliau, hatinya benar-benar terluka dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan dan beliau menyerahkan segalanya kepada pihak polis untuk disiasat selepas laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

Bagaimanapun, beliau telah memaafkan pihak-pihak yang telah melemparkan kata-kata kesat dan fitnah terhadap dirinya dan berserah kepada Allah S.W.T untuk mengadili segalanya. – MalaysiaGazette