Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz merasmikan Platform Pembiayaan Digital Rantaian Bekalan Nasional (JanaNiaga) secara maya.
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz merasmikan Platform Pembiayaan Digital Rantaian Bekalan Nasional (JanaNiaga) secara maya.

KUALA LUMPUR – Peruntukan tambahan bagi Platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional atau JanaNiaga dijangka mencecah RM1.2 bilion dengan penyertaan institusi-institusi kewangan secara berfasa.

Penubuhan JanaNiaga yang diumumkan selepas Belanjawan 2021 diterajui oleh EXIM Bank bagi memastikan bantuan sebanyak RM300 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dapat diberikan dengan secepat mungkin.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, platform ini akan memanfaatkan industri PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invios yang lama.

“Dengan purata tempoh invois selama 90 hari, jumlah ini akan bakal menyumbang sebanyak RM4.8 billion setahun kepada kecairan tunai PKS,” atanya ketika merasmikan Platform Pembiayaan Digital Rantaian Bekalan Nasional (JanaNiaga) secara maya, hari ini.

Jelas beliau, bantuan kepada PKS ini akan diberikan melalui pinjaman instusi kewangan melalui platform Jananiaga.

Menurut beliau, JanaNiaga ini memberi faedah besar kepada ekosistem dan telah diguna pakai secara meluas oleh sektor ekonomi negara luar.

Penggunaan platform ini menyokong pemulihan ekonomi jangka panjang dan selaras dengan strategi kerajaan dalam mengutamakan automasi dan
pendigitalan serta pengunaan teknologi baharu bagi mempercepatkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

”Platform JanaNiaga berterajukan pembiayaan invois daripada pembekal GLC menerusi portal digital,” tambahnya.

Dengan sokongan syarikat milik kerajaan (GLC), pembekal-pembekal PKS ini akan menikmati kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus setahun untuk margin pembiayaan sebanyak 100 peratus, jauh lebih rendah daripada pembiayaan pada kadar biasa.

Permohonan pembiayaan juga dibuat secara dalam talian, membolehkan setiap permohonan diluluskan dalam tempoh 24 jam sahaja.

Tambah beliau, pada peringkat awal ini, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Telekom Malaysia.

Tengku Zafrul berkata melalui pembiayaan kredit mikro, yang mana sebanyak RM2.9 bilion disediakan bagi membantu usahawan PKS.

Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga komited dengan meningkatkan dananya bagi pembiayaan yang berjumlah RM8.6 bilion di bawah Pakej Pemerkesa tambahan dan RM2 bilion dibawah Pakej Pemulih. – MalaysiaGazette