Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15,573 kes baharu positif Covid-19 direkodkan sehingga jam 12 tengah hari ini, rekod tertinggi sejak penularan virus itu di negara ini pada Mac tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, Selangor masih menjadi negeri yang mencatatkan kes baharu paling tinggi di negara ini melibatkan 7,672 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 2,063 kes.

“Sehingga 23 Julai 2021, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan adalah 15,573 kes (980,491 kes).

“Daripada jumlah itu, Kedah mencatatkan 937 kes, diikuti dengan Johor (722), Negeri Sembilan (682), Pulau Pinang (530), Sabah (516), Sarawak (461), Pahang (457), Melaka (452), Perak (415) , Kelantan (372) dan Terengganu (229).

“Terdapat dua Wilayah Persekutuan dan satu negeri yang mencatatkan kes baharu di bawah 50 kes iaitu Putrajaya dengan 41 kes, Labuan (21) dan Perlis (3),” katanya dalam ciapan terbaru di Twitter miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula sebanyak 147,386 kes, manakala 939 kes pula sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 456 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes kematian akibat Covid-19 pada hari ini masih tinggi dengan 144 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,718 kes,” katanya.

Selain itu, kadar kes sembuh juga agak tinggi direkodkan hari ini dengan 10,094 kes, menjadikan kumulatif kes sembuh berjumlah 825,387 kes. – MalaysiaGazette