Fizz Fairuz scam DBKL tender contract Datuk Seri
ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Pemuda berpangkat Datuk Seri yang disyaki menipu kontrak pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak wujud direman dua hari untuk membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek berusia 26 tahun itu direman sehingga esok.

“Pagi tadi perintah reman dipohon ke atas suspek di lokap Jinjang dan majistret telah membenarkan reman dua hari bermula hari ini hingga 26 Julai ini untuk membantu polis melengkapkan siasatan kes.

“Kertas siasatan yang siap kemudian akan diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin untuk arahan lanjut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Polis sahkan laporan Fizz mangsa scam, Datuk Seri muda sudah ditahan 

Suspek didakwa tipu Fizz Fairuz akan direman esok 

Tender DBKL: Fizz Fairuz kena tipu RM18,000 

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan suspek ditahan polis Kajang pada 22 Julai lalu dan diserahkan kepada polis Sentul jam 2 petang semalam untuk tindakan lanjut.

Eng Lai menambah, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Menurutnya, polis telah menerima laporan polis daripada pelakon, Fizz Fairuz pada jam 11.30 pagi 21 Julai lalu berikutan kerugian akibat menjadi mangsa penipuan kontrak DBKL yang ditawarkan suspek.

“Dia dalam laporan polis itu mendakwa telah mengalami kerugian RM18,100 disyaki ditipu suspek.

“Siasatan polis mendapati mangsa telah berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Dato Seri menawarkan tender projek pembersihan dari DBKL.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk membayar satu peratus bon daripada nilai harga tender projek yang ditawarkan sebagai wang cagaran.

“Setelah persetujuan dibuat, mangsa telah memindahkan sejumlah wang sebanyak RM18,100 ke dalam akaun peribadi suspek tersebut seperti diarahkannya,” katanya.

Tambah beliau, setelah mangsa membuat pembayaran seperti dikehendaki suspek untuk projek tender pembersihan yang ditawarkan.

Katanya, mangsa telah menghubungi suspek bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tawaran projek tersebut sebelum pelbagai alasan diberikan oleh suspek selain gagal dihubungi dan menghilangkan diri selepas itu. – MalaysiaGazette