Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Lelaki berpangkat Datuk Seri yang disyaki menipu seorang pelakon  bagi mendapatkan tender pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak wujud sudah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek berusia 26 tahun itu telah ditahan pada Rabu lalu oleh Polis Kajang dan diserahkan kepada Polis Sentul untuk  siasatan.

“Esok kita akan mendapatkan perintah reman ke atas suspek untuk memulakan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel berkaitan: Polis sahkan laporan Fizz mangsa scam, Datuk Seri muda sudah ditahan 

Tender DBKL: Fizz Fairuz kena tipu RM18,000 

Pada 22 Julai lalu, Eng Lai dalam satu kenyataan mengesahkan menerima laporan polis daripada Fizz Fairuz yang mengalami kerugian sebanyak RM18,000 selepas menjadi mangsa scam kontrak DBKL.

“Dia dalam laporan polis itu, dia mendakwa telah mengalami kerugian RM18,100.

“Siasatan polis mendapati mangsa telah berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Dato Seri menawarkan tender projek pembersihan dari DBKL.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk membayar satu peratus bon daripada nilai harga tender projek yang ditawarkan sebagai wang cagaran.

“Setelah persetujuan dibuat, mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM 18,100 ke dalam akaun peribadi suspek,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Setelah membuat pembayaran, mangsa telah menghubungi suspek bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tawaran projek tersebut tetapi suspek memberi pelbagai alasan sebelum dia menghilangkan diri. – MalaysiaGazette