Fizz Fairuz scam DBKL tender contract Datuk Seri
ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda berusia 26 tahun yang berpangkat Datuk Seri ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam scam penipuan ke atas pelakon tempatan popular Datuk Fizz Fairuz.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sentul telah menerima laporan polis mangsa pada 21 Julai lalu sekitar jam lebih kurang 11.30 pagi.

Katanya, dalam laporan polis itu mangsa iaitu Fizz Fairuz menyatakan dia ditipu suspek muda yang berpangkat Datuk Seri itu dalam satu urusan penyambungan tender pembersihan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan mengalami kerugian RM18,100.

“Siasatan polis mendapati mangsa telah berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Dato Seri menawarkan tender projek pembersihan dari DBKL.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk membayar satu peratus bon daripada nilai harga tender projek yang ditawarkan sebagai wang cagaran.

“Setelah persetujuan dibuat, mangsa telah memindahkan sejumlah wang sebanyak RM 18,100 ke dalam akaun peribadi suspek tersebut seperti diarahkannya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Artikel berkaitan: Tender DBKL: Fizz Fairuz kena tipu RM18,000

Beliau berkata, selepas membuat pembayaran, mangsa telah menghubungi suspek bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan tawaran projek tersebut bagaimana suspek memberikan pelbagai alasan sebelum menghlangkan diri.

Menurut Eng Lai, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika disabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara selama tempoh setahun hingga maksimum 10 tahun dan dikenakan sebat.

“Pihak polis menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dan sentiasa berhati-hati dengan segala bentuk tawaran projek yang ditawarkan oleh pihak individu yang tidak dikenali.

“Sebagai langkah pencegahan, anda boleh membuat semakan awal dengan agensi terlibat dahulu untuk membuat pengesahan sama ada projek tersebut wujud atau sebaliknya.

“Orang ramai juga boleh menghubungi CCID Responce Centre melalui talian 03-26101559/1559 sekiranya mempunyai sebarang keraguan mahupun maklumat berkenaan aktiviti jenayah komersil,” tegasnya.

Sementara itu, Eng Lai juga mengesahkan kepada MalaysiaGazette suspek telah berjaya ditangkap oleh pasukan polis IPD Kajang.

“Ya..saya boleh sahkan berdasarkan laporan polis mangsa sudahpun ditangkap di Kajang dan Sabtu ini kita akan mengambil suspek daripada polis Kajang untuk proses reman dan meneruskan siasatan ke atas dia,” tegas beliau.

Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa Fizz telah hadir ke IPD Sentul dan mengemukakan laporan mengenai penipuan itu.

Menurut Fizz dia membuat bayaran itu pada 6 Jun lalu dan terus berhubung dengan suspek selama empat hari sebelum suspek tidak membalas mesejnya di WhatsApp.

“Namun selepas 50 kali saya mesej, barulah dia membalas dan memberikan alasan dia dijangkiti Covid-19 dan menyukarkan berurusan dengannya sebelum terus menghilangkan diri,” katanya. – MalaysiaGazette