Foto Instagram Fizz Fairuz.

KUALA LUMPUR – Pelakon popular Datuk Fizz Fairuz kerugian RM18,000 apabila menjadi mangsa scam seorang lelaki berusia 26 tahun berpangkat Datuk Seri.

Susulan itu, Fizz membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini semalam.

Fizz ketika dihubungi berkata, wang itu dibayar sebagai bon bagi tender projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Individu ini tawarkan saya projek tender DBKL. Dia bagi senarai apa kena buat dan saya kena bayar satu peratus bon. Saya memang tak terfikir dia scammer sebab dia minta profil syarikat.

Menurut Fizz, dia mula menyedari dirinya menjadi mangsa scam selepas individu itu ‘menghilangkan’ diri, selain mendapat nasihat daripada beberapa kenalan.

“Saya ada menghubungi beberapa kenalan yang pernah berurusan dengan dia. Mereka nasihatkan saya supaya tidak bekerjasama dan dekatkan diri dengan dia.

“Saya pula apabila sudah masukkan wang baru menghubungi mereka. Jadi, ini kesilapan saya sendiri. Saya percaya pun sebab dia gunakan nama DBKL,” katanya.

Dalam masa sama, Fizz memaklumkan individu itu sudah ditahan, kelmarin.

“Saya dimaklumkan dia sudah kena tangkap. Rupa-rupanya ramai juga menjadi mangsa. Jadi, banyak laporan dibuat terhadapnya.

“Saya juga buat laporan sebab menjadi mangsa. Saya berharap wang dipulangkan. Biarpun peluang itu macam mustahil,” katanya. – MalaysiaGazette