Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan semalam berkenaan ujian ‘Covid Neutralizing Antibody Test’ adalah di luar bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sebarang kesulitan yang timbul daripada perkara tersebut adalah dikesali.

Jelas beliau PDRM komited menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan dalam masa yang sama mengambil langkah selari dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“PDRM kekal komited untuk menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan akan mengambil langkah selari dengan KKM, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV) dalam proses memastikan perkhidmatan vaksinasi terbaik disampaikan kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Abd Jalil berkata, penerima vaksin boleh membuat ujian ‘Covid Neutralizing Antibody Test’ sekiranya merasa gelisah dan terpedaya menerima suntikan vaksin.

Katanya lagi, sehingga semalam polis masih belum lagi mengesan mana-mana sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau cuba memasarkan vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya. – MalaysiaGazette