Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bermula hari ini selama lima hari ini adalah satu penipuan.

Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan, ini kerana mesyuarat khas itu bukan seperti yang dizahirkan oleh Yang Di-Pertuan dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Menurut beliau, ia berikutan tiada perbahasan dibenarkan dan sidang hanya sekadar penerangan.

“Mesyuarat  ini bukan sidang Parlimen yang dititah Raja-Raja Melayu dan Agong serta rakyat faham ahli Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.

“Tetapi kerajan tidak hirau untuk adakan secepat mungkin. Kes Covid-19 meningkat beribu kes setiap hari yang kes kematian beratus, bunuh berpuluh kes selain rakyat menderita dan tiada  makanan,” katanya ketika berucap selepas sesi Dewan Rakyat bermula hari ini.

Dr. Mahathir terus mendakwa kerajaan telah memperdaya satu dunia dengan mengadakan sidang Parlimen sebagai sebagai sesi penerangan sahaja.

Jelas beliau, kerajaan juga mengambil kesempatan untuk segera mengadakan persidangan dengan menjadikan alasan mengisytiharkan darurat yang tidak dibentang dan dibincangkan di Parlimen.

“Tidak perlu sesi penerangan seperti ini, cukup dengan beri White Paper (kertas putih) untuk kita. Perlu ada sidang Parlimen yang sebenar untuk kita berbahas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.