Oksana Chusovitina.

KUALA LUMPUR – Legenda gimnas, Oksana Chusovitina mencipta sejarah di Sukan Olimpik Tokyo yang sedang berlangsung ketika ini kerana ia merupakan penyertaan kelapan berturut-turut buat gimnas berusia 46 tahun itu.

Chusovitina turut mengesahkan temasya di Tokyo merupakan pentas Olimpik terakhirnya sebelum menerima tepukan gemuruh daripada semua orang yang berada di venue perlawanan kelmarin.

Dia muncul satu-satunya atlet yang mewakili tiga negara iaitu Soviet Union, Jerman dan kini Uzbekistan, sejak kali pertama layak ke Sukan Olimpik pada 1992.

“Saya saya cintakan sukan gimnastik dan seolah-olah ada suara membisik kepada saya bahawa kenapa saya perlu berlatih dan membuat persembahan selagi anda mampu.

“Jika saya berhenti, saya fikir saya telah mensia-siakan sebuah perjalanan,” katanya yang turut berada bersama ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi dalam Kumpulan 4 pada kelayakan acara all-rounder kelmarin.

Chusovitina turut  mengakui keadaan anak lelakinya yang mengidap leukemia mendorongnya untuk terus berjuang dalam sukan tersebut biarpun dirinya hampir mencecah separuh abad.

“Anak sulung saya sudah berusia 22 tahun. Selepas ini saya mahu menumpukan perhatian sebagai ibu dan isteri,” katanya.

Selama tiga dekad selaku gimnas, Chusovitina pernah mencatatkan kejayaan di Olimpik apabila menggondol satu emas di Olimpik 1992, diikuti perak pada edisi 2008.

Selain itu, Chusovitina juga telah memenangi 11 pingat di Kejohanan Dunia melibatkan tiga emas, empat perak, empat gangsa); dua pingat di Piala Dunia (satu emas dan gangsa); Sukan Asia (8 pingat); Kejohanan Asia (4 pingat) dan Kejohanan Eropah (4 pingat). – MalaysiaGazette