Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan penggunaan racun tikus dalam bentuk tablet (pelet) dalam negara ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan tersebut dibuat susulan terdapat beberapa kes haiwan peliharaan penduduk mati selepas termakan tablet beracun itu.

Jelas beliau, ada pemilik haiwan mendakwa  mereka melihat beberapa pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT) melempar tablet beracun itu ke rumput dengan alasan bagi menghapuskan tikus dan gagak.

“Tidak dapat dipastikan bagaimana mereka dapat menyasarkan racun yang dilemparkan itu hanya dimakan tikus dan gagak, boleh jadi ia dimakan oleh manusia atau makhluk lain memandangkan ia dibuang begitu saja di atas tanah.

“Racun dalam bentuk tablet bukan sahaja membahayakan haiwan peliharaan malah kepada kanak-kanak dan hidupan liar sekaligus mendorong Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA) mengharamkan racun tikus dalam bentuk pelet.

“Menurut EPA kanak-kanak khususnya berisiko terdedah kepada racun tikus kerana produk itu biasanya diletak di atas lantai yang mana kanak-kanak boleh mengutip dan  memakannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kehadiran tikus di kediaman bukanlah sesuatu yang diinginkan namun pengunaan kaedah ini untuk mengawal bilangan tikus kelihatan kejam.

“Bagi mengawal tikus, racun atau kaedah perangkap digunakan tetapi ia belum dapat mengatasi punca sebenar masalah berkenaan, iaitu tabiat buruk penduduk membuang sisa makanan dan sampah dengan sewenang-wenangnya.

“Daripada mencari kaedah membunuh tikus yang lebih kuat dan berpotensi berbahaya, lebih baik cari punca konflik kita dengan haiwan ini iaitu mencari bukti dan kawasan pembiakan tikus dengan melempar tablet merata tempat sehingga membunuh haiwan lain.

“Pekerja di PBT juga perlu dididik mengenai kaedah penghapusan makhluk perosak dengan lebih berkesan,” tegas Mohideen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast