Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan Malaysia naik sebanyak 26 peratus pada separuh pertama tahun ini kepada RM1.056 trilion.

Eksport naik 30.2% kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1% kepada RM470.53 bilion, nilai separuh tahun yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import.

Jumlah perdagangan Malaysia pada Jun 2021 meningkat 29.3% kepada RM188.7 bilion berbanding tahun lalu.

Eksport merekodkan peningkatan tahun ke tahun yang ke-10 bulan berturut-turut sejak September 2020, mencatatkan pertumbuhan kukuh 27.2% kepada
RM105.47 bilion.

Prestasi ini merupakan kali ketiga nilai eksport melebihi RM100 bilion direkodkan manakala import naik 32.1% kepada RM83.23 bilion dan lebihan dagangan
berkembang 11.7% kepada RM22.24 bilion.

Perdagangan, eksport dan import merekodkan nilai bulanan kedua tertinggi setakat ini selepas bulan April 2021, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Ini juga merupakan nilai bulanan tertinggi dicatatkan bagi bulan Jun dan pertumbuhan dua digit bagi lima bulan berturut-turut.

Pertumbuhan eksport disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E) khasnya litar bersepadu elektronik yang digunakan dalam pengeluaran telefon pintar, kereta, komputer dan kelengkapan rumah serta keluaran getah.

Menurut beliau, eksport ke kesemua pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing meningkat sebanyak 10.4%, 14.3%, 5.9% dan 61.7%.

Jumlah perdagangan bagi suku kedua (S2) tahun 2021 meningkat 39% kepada RM550.4 bilion, berbanding S2 2020.

Eksport melonjak 44% kepada RM303.37 biliondan import meningkat 33.3% kepada RM247.02 bilion, merupakan nilai suku tahunan yang tertinggi pernah dicatatkan bagi perdagangan, eksport dan import setakat ini.

Lebihan dagangan sebanyak RM56.35 bilion direkodkan pada tempoh ini, melonjak 122.7%.

Mohamed Azmin berkata, berbanding suku pertama (S1) tahun 2021, perdagangan, eksport dan import masingmasing berkembang sebanyak 8.8%, 7.5% dan 10.5% manakala lebihan dagangan menyusut 4%.

Pada separuh pertama (H1) tahun 2021, jumlah perdagangan Malaysia telah melepasi RM1 trilion, tempoh tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai tanda aras ini.

Perdagangan bernilai RM1.056 trilion, berkembang 26% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Eksport naik 30.2% kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1% kepada RM470.53 bilion, nilai separuh tahun yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import.

Lebihan dagangan juga melonjak 87.7% kepada RM115.04 bilion. – MalaysiaGazette