KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tahun 2020 menyusut 7.3 peratus, lebih tinggi berbanding kemerosotan KDNK Malaysia dan KDNK bukan PKS yang mana masing-masing mencatatkan negatif 5.6 peratus dan negatif 4.6 peratus.

Ini merupakan kali pertama prestasi KDNK PKS lebih rendah berbanding KDNK Malaysia dan KDNK bukan PKS sejak tahun 2004.

Sumbangan KDNK PKS mengecil kepada 38.2 peratus pada tahun 2020 dengan nilai ditambah sebanyak RM512.8 bilion berbanding 38.9 peratus atau RM553.5 bilion pada tahun sebelumnya kerana krisis kesihatan yang berpanjangan disebabkan oleh pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

Selain itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang merangkumi pelbagai langkah bagi membendung penularan Covid-19 telah menyebabkan penurunan prestasi semua sektor ekonomi.

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, KDNK PKS bagi semua sektor merekodkan pertumbuhan negatif pada tahun 2020. Nilai ditambah PKS bagi sektor perkhidmatan menyusut 9.2 peratus pada tahun 2020 daripada 7.5 peratus pada tahun 2019.

Kemerosotan momentum ini disebabkan oleh penurunan bagi subsektor perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan yang mencatatkan pertumbuhan negatif 7.8 peratus.

Subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan turut menyusut pada tahun 2020 kepada negatif 10.6 peratus.

Selain itu, PKS bagi sektor pembinaan turut merosot 15.4 peratus disumbangkan oleh kejatuhan dalam semua subsektor.

Nilai ditambah PKS bagi sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan negatif 2.9 peratus dipengaruhi oleh produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka yang mana merosot kepada 13.1 peratus.

Walau bagaimanapun, produk petroleum, kimia, getah dan plastik dan produk makanan, minuman & tembakau masing-masing terus mencatatkan pertumbuhan positif iaitu 3.2 peratus dan 2.0 peratus.

Nilai ditambah PKS bagi sektor perlombongan & pengkuarian jatuh 7.1 peratus pada tahun 2020.

Selain itu, PKS bagi sektor pertanian menyusut 0.3 peratus disebabkan oleh kejatuhan dalam kesemua subsektor kecuali ternakan dan pertanian lain yang terus bertumbuh positif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast