KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Penang FC, Thomas Trucha mahu pemain tetap fokus berdepan UiTM FC meskipun moral sedikit terjejas apabila perlawanan berdepan Kedah Darul Aman FC, Sabtu lalu terpaksa ditangguhkan.
Beliau tidak menafikan mental pemain sedikit terganggu apabila mereka tidak dapat beraksi ekoran ada pemain Kedah yang disahkan positif Covid-19 tatkala segala persiapan telah pun dibuat untuk beraksi.
Namun, Trucha mahu barisan pemain terus bersemangat untuk memberi fokus kepada perlawanan menentang UiTM FC pada malam ini sambil menyifatkan lawan mereka itu kini hadir dengan beberapa muka baharu yang pastinya akan memberi tentangan hebat.
Walaupun UiTM FC kini di tangga tercorot Liga Super, dia menganggap berdepan dengan lawan yang bekerja keras untuk terus kekal di saingan liga lebih berbeza dan apa sahaja boleh berlaku.
“Sewaktu aksi berdepan Kedah terpaksa ditangguhkan, ia sememangnya di luar kawalan kita semua, jadi penting untuk saya pastikan pemain kekal fokus dan terima dengan perubahan pelan untuk aksi malam esok.
“Berdepan UiTM, saya dapat rasa akan sengit kerana kita tahu bagaimana semangat juang mereka untuk terus kekal di Liga Super dan jurulatih mereka juga bekerja keras mempersiapkan pasukan dalam tempoh berehat tempoh hari.
“Jadi, saya tekankan kepada pemain saya agar jangan sesekali ambil mudah, dan tiada satu pun perlawanan yang senang untuk kita kerana semua pasukan bekerja keras sebelum ini untuk kembali beraksi,” jelasnya. – MalaysiaGazette