Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor bersetuju memberi peruntukan tambahan RM50,000 kepada 56 Ahli Dewan Undangan (ADUN) dan 27 Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) di negeri itu bagi melancarkan lagi pemberian bantuan kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menerusi kenyataan medianya memberitahu, ia ekoran kerajaan memahami keluh-kesah rakyat yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Katanya, peruntukan tambahan itu melibatkan kos keseluruhan RM4.15 juta.

“Selain bantuan yang diberikan oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri Johor turut melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif, khususnya memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor untuk membantu meringankan bebanan rakyat.

“Pelbagai bantuan dan insentif telah diberikan menerusi pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri termasuk peruntukan khas kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 27 Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) di negeri ini.

“Sebelum ini, dalam PRE Ihsan Johor 1.0, kerajaan negeri Johor turut memberikan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada semua 56 ADUN.

“Dalam Belanjawan Johor 2021 yang saya bentangkan tahun lalu, Kerajaan Negeri turut menaikkan jumlah peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM50,000 menjadi RM150,000.

“Menyedari lebih ramai rakyat yang terkesan perlu dibantu, menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 yang lalu,  kita peruntukan RM50,000 kepada semua ADUN dan JPKD.

“Saya berharap dengan peruntukan tambahan ini, semua wakil rakyat dan JPKD dapat memberikan bantuan kepada lebih ramai rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang masih membelenggui kita hingga kini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette