Datuk Osman Sapian
JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian memberitahu,
Usul cadangan agar sektor ekonomi dibuka semula bagi kawasan yang tidak terjejas dengan Covid-19 di negeri ini akan dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian berkata, cadangan itu perlu, memandangkan ramai peniaga kecil mengeluh pendapatan mereka terjejas.
“Menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan dengan berfasa pada ini menyaksikan terdapat sektor yang tidak dapat beroperasi seperti kedai makan, restoran, pusat cuci kenderaan dan kedai gunting rambut.
“Langkah itu disifatkan tidak sesuai terutama di Johor, ini kerana jika dilihat terdapat di kawasan yang merekodkan angka jangkitan Covid-19 yang rendah.
“Oleh itu,kawasan terbabit sepatutnya dibenarkan sepenuhnya sektor ekonomi beroperasi dengan prosuder operasi standard yang ketat,” katanya yang merupakan bekas Menteri Besar Johor.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bagi kawasan DUN Kempas di sini hari ini.
Dalam pada itu, Osman juga meminta kerajaan negeri agar melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama Datuk Bandar dan Yang Dipertua terlibat dalam perbincangan berhubung perkara tersebut.
“Saya tekankan perkara ini kerana ianya di bawah kuasa Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah yang merupakan PBT kerana mereka sahaja yang boleh keluarkan kelulusan beroperasi di kawasan tidak terjejas teruk dengan Covid-19.
“Panggil Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis libatkan mereka kerana mereka boleh memutuskan sama ada sesuatu kawasan itu dibenarkan sektor ekonomi beroperasi sepenuhnya atau tidak ketika PPN (Pelan Pemulihan Negara) ini,” katanya.
Osman yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam mendakwa kerajaan negeri mempunyai hasil pungutan yang memberangsangkan namun tidak selama mampu bertahan sekiranya tiada langkah segera diambil bagi memulihkan sektor ekonomi. – MalaysiaGazette