Mesyuarat Majlis Presiden PH marah mereka terhadap isu-isu rasuah melibatkan individu-individu dalam kerajaan sejak kebelakangan ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri (PMO) bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah menasihatkan yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum sidang khas parlimen pada 26 Julai lalu adalah bersifat angkuh.

Tiga pemimpin utama PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu berkata, kenyataan itu adalah cubaan ‘menegakkan benang yang basah’ dan menderhakai sistem Raja Berperlembagaan.

“Kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri semalam adalah angkuh dan biadab terhadap Ketua Utama Negara, menderhakai Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen. Amat penting dinyatakan bahawa Pemerintah yang telah hilang jalinan hubungan baik dan tidak lagi taat setia kepada Seri Paduka Baginda tidak mungkin bertahan.

“Kerajaan Perikatan Nasional dan seluruh Kabinet telah hilang keabsahan kerana kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat serta kelayakan dan kewibawaan sebagai pemimpin apabila Perdana Menteri dan Menteri gagal menjunjung titah Tuanku agar Ordinan-Ordinan Darurat dibahas dan diputus untuk diungkaikan di Parlimen,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Mereka berkata, perkara pokok adalah kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Kerajaan telah membatalkan
Ordinan-Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai turut mengundang dukacita Yang di-Pertuan Agong.

“Walau bagaimanapun, kenyataan Istana Negara semalam jelas menyatakan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong belum memberi perkenan kepada pembatalan tersebut, dan Takiyuddin telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Semalam, Sidang Khas Parlimen ditangguh sebanyak tiga kali ekoran kenyataan Istana Negara.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada Isnin bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. RAKYAT WAJIB BOIKOT PRU 15…..BILA MANIFESTO DAN MANDAT RAKYAT DITELANJANGI DAN DIKENCING HANCING…..MP2 SENTIASA BERCAKARAN DALAM PARLIMEN SEBELUM DAN SEMASA PANDEMIK…..MASING2 HANYA GILA POLITIK KUASA……INGAT SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT….RAKYAT MUAK DENGAN INTEGRITI DOWN DAN SAKIT MENTAL PARA PEMIMPIN POLITIK.
    MEREKA MP/ADUN YANG DIDAKWA DAN MASIH DALAM KES MAHKAMAH MASIH BEBAS KESANA KESINI DENGAN ALASAN SELAGI TIDAK DIDAPATI BERSALAH
    RAKYAT BIASA MUDAH PULA DIREMANLOKAP BERGARI WPUN BELUM PASTI BERSALAH

    RAKYAT MENJALANKAN TANGGUNGJAWAB MENGUNDI…MALANGNYA PEMIMPIN TERPILIH BAKULSAMPAHKAN HASRAT RAKYAT

Comments are closed.