Lebih 1,000 kes baharu Covid-19 turun di Selangor, hari ini - Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR – Kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan lebih 300 kes hari ini berbanding semalam yang berjumlah 17,170 kes kepada 16,840 kes, sekaligus menjadikan kes kumulatif setakat ini berjumlah 1,095,486 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun penurunan kes harian itu hanya sebanyak 330 kes sahaja, namun Selangor menunjukkan penyusutan kes harian yang ketara dengan lebih 1,000 kes setakat jam 12 tengah hari ini.

“Sehingga 30 Julai 2021, jumlah kes Covid-19 adalah sebanyak 16,840 kes. Walaupun Selangor masih menjadi negeri tertinggi kes hariannya, namun kes positif menurun sehingga 1,071 kes, menjadikan kes harian di negeri itu sebanyak 6,092 kes.

“Bagaimanapun kes baharu Covid-19 di Kuala Lumpur masih kekal pada paras lebih 2,000 kes sejak 27 Julai lalu dengan sebanyak 2,114 kes yang direkodkan pada hari ini.

“Ini diikuti Kedah dengan 1,281 kes, Johor (1,104), Negeri Sembilan (1,079), Sabah (1,066), Perak (810), Pulau Pinang (689), Kelantan (656), Melaka (581), Pahang (540), Sarawak (450) dan Terengganu (258).

“Bagaimanapun hanya tiga negeri kekal merekodkan kes baharu Covid-19 di bawah 100 kes iaitu Putrajaya (100), Perlis (13) dan Labuan (7),” katanya dalam catatan terbaru di Twitter miliknya, hari ini.

Daripada jumlah kes baharu hari ini, sebanyak 17 kes import membabitkan enam warga tempatan dan 11 warga asing, manakala kes tempatan pula sebanyak 16,823 kes di mana 14,014 kes adalah warganegara dan 2,809 pula bukan warganegara.

“Kes aktif setakat hari ini berjumlah 183,706 kes, manakala kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula sebanyak 1,055 kes serta kes memerlukan bantuan pernafasan berjumlah 532 kes,” katanya.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan sebanyak 12,179 kes sembuh dengan kes kumulatif berjumlah 902,921 kes atau 82.4 peratus setakat hari ini.

Sementara itu, kes kematian hari ini menunjukkan sedikit penurunan, dari 174 kes semalam kepada 134 kes hari ini di mana 128 adalah warganegara dan enam pula bukan warganegara, sekaligus menjadikan kes kumulatif berjumlah 8,859 kes.

“Daripada jumlah itu, 35 kes di Selangor, 17 kes di Melaka, masing-masing 15 kes di Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing 12 kes di Kedah dan Perak, 10 kes di Kuala Lumpur, enam kes di Sabah, lima kes di Terengganu, empat kes di Pahang, dua kes di Kelantan serta satu kes di Pulau Pinang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 47 kluster baharu dikenal pasti hari ini, manakala 2,559 kluster yang lain pula ditamatkan, sekaligus menjadikan kluster aktif berjumlah 1,092 kluster,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Isn’t it premature to say that? Nevermind, we will what will happen in the next few days. I really hope DG is right!!!

Comments are closed.