Usaha melawan pandemik COVID-19 harus kembali diberi tumpuan bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin, selain membina semula ekonomi negara melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional kata ketua-ketua penerangan Parti-parti dalam Perikatan Nasional.

KUALA LUMPUR – Usaha melawan pandemik COVID-19 harus kembali diberi tumpuan bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin, selain membina semula ekonomi negara melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional.

Ketua-Ketua Penerangan parti-parti dalam Perikatan Nasional melalui kenyataan berkata perkara itu merupakan keutamaan sebenar negara pada waktu ini, demi kebaikan rakyat keseluruhannya.

“Kami menyeru seluruh lapisan masyarakat meneliti siri penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan mengenai situasi terkini kerana terlalu banyak pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan peribadi dan untuk menyelamatkan diri.

Ini termasuklah dengan sengaja mencipta berita-berita palsu dan mengeksploitasi situasi semasa melalui media sosial. Justeru rakyat mesti peka dengan gerak kerja tidak bertanggungjawab ini, dan sentiasa merujuk kepada sumber yang sahih untuk mengetahui situasi sebenar,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu algi, sebagai jentera penerangan parti-parti dalam kerajaan, mereka berikrar untuk terus membantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pucuk pimpinan parti dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, terutama dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti-parti dalam kerajaan serta Ahli-ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin serta kabinetnya untuk terus memimpin negara mendepani cabaran COVID-19.

Sementara itu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyuarakan pendapat sama dan menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam menerajui pentadbiran negara.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Tenggara Jawahir Husein berkata dalam keadaaan pandemik COVID-19 semasa, tumpuan haruslah diberikan terhadap usaha menangani penularan jangkitan itu, selain meminta semua pihak mengetepikan kepentingan politik dan mengekalkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Masyarakat Insane Kaseh Johor Zuraini Tahir pula berkata pihaknya melahirkan kekecewaan dengan permainan politik yang mementingkan kedudukan daripada menjamin keselamatan dan ekonomi rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Pandangan sama turut diutarakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Wanita Parit Sulong Sarmila Amir menyeru semua pihak bersatu padu bagi menjamin keharmonian negara dalam menghadapi COVID-19. – BERNAMA