Majlis perkahwinan yang mengingkar SOP PPN yang tular di media sosial aplikasi Instagram sejak 27 Julai lalu berjaya dikenalpasti kesemua individu terlibat untuk membantu siasatan polis.

KUALA LUMPUR – Polis telah mengenalpasti individu-individu yang mengingkar prosedur operasi standard dan menguruskan serta menghadiri satu majlis perkahwinan yang diadakan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Saralathan Duraisamy berkata, video majlis perkahwinan yang ditularkan dalam media sosial, Instagram, mendapat kritikan warga net.

“Setakat hari ini, seorang perancang perkahwinan tempatan berusia 36 tahun yang menyewa dan menguruskan tempat tersebut daripada pemilik bangunan telah dipanggil untuk memberi keterangan di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Wangsa Maju.

“Manakala kesemua individu lain yang telah terlibat dalam majlis perkahwinan berkenaan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat (pemilik bangunan, kedua-dua pengantin dan ahli keluarga),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau, polis telah mengambil tindakan selepas menerima laporan polis pada jam 1.59 tengah hari semalam.

Berikutan itu, tambah beliau, pihak polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Menurut Saralathan, semakan polis mendapati gambar majlis perkahwinan yang berlangsung pada 27 Julai lalu mendapati terdapat individu yang berkumpul tanpa sebarang penjarakan sosial.

“Hasil siasatan lanjut juga, pihak polis mendapati perkahwinan tersebut telah berlangsung di sebuah bangunan di Jalan Ampang di ibu negara dan penganjur telah menyewa dewan itu daripada sebuah syarikat pengurus perkahwinan dan majlis tersebut,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta untuk menghubungi Asisten Superintendan Mohd Mirza Che Ab Wahi (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 012-945 7503, Inspektor Salina Zolkopli (Pegawai Penyiasat) di talian 011-1234405 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette