KUALA LUMPUR – Seramai 47 individu yang dikenalpasti sebagai peserta Himpunan Keluar dan #Lawan pada Sabtu lalu telah dikesan dan polis menasihati mereka supaya tampil membantu siasatan kes tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pada 31 Julai lalu, satu perhimpunan dengan anggaran sekitar 400 ke 500 orang peserta berkumpul di jalan berhampiran Stesen Tren Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek.
Kesemua mereka kemudian telah berarak menghala ke Jalan Raja Laut di sini dengan membawa sepanduk dan sebagainya dengan tanda #Lawan.
“Polis menerima laporan dan disebabkan itu memulakan siasatan, kita akan memanggil peserta-peserta atau penganjur perhimpunan itu bagi membantu siasatan ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Untuk kes itu, polis akan membuka kertas dan menjalankan siasatan di bawah beberapa peruntukan antaranya Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan peraturan-peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit 2020 (Akta 342).
Tambah Azmi, setakat ini seramai 11 individu telah dipanggil pada hari ini dan dirakam keterangan oleh polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
“Jadi tujuan saya panggil hari ini adalah untuk mendapatkan kerjasama dari mereka yang ada di dalam gambar ini kami percaya boleh membantu siasatan kes ini.
“Maka kami meminta 47 individu berkenaan supaya tampil untuk memberi keterangan kepada polis dan setakat ini 19 laporan polis diterima di KL dan juga luar mendesak tindakan ke atas penganjur himpunan Lawan itu.
“Kita juga dapati rakan-rakan media ada juga merakam gambar-gambar peserta dan diharap ia juga boleh membantu polis mengesan lebih ramai lagi yang terbabit himpunan Lawan itu untuk melengkapkan kertas siasatannya,” tegasnya.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: